APMM Malaysia tahan bot langgar syarat lesen

Antara mereka yang ditahan bersama bot pukat tunda kelas C. - Foto Sumber Maritim
Antara mereka yang ditahan bersama bot pukat tunda kelas C. - Foto Sumber Maritim
A
A
A

LANGKAWI - Sebuah bot nelayan tempatan kelas C ditahan bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis kerana melanggar syarat lesen serta menangkap ikan kurang dari 15 batu nautika pada jam 10.50 malam Sabtu lalu.

Pengarah APMM Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Rozali Mohd Said berkata, bot tersebut ditahan ketika nelayan terbabit sedang leka menangkap ikan menggunakan pukat tunda pada jarak lebih kurang 10.2 batu nautika dari barat daya Tanjung Belua, Pulau Langkawi.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot dengan nombor pendaftaran PSF 2388 mempunyai seorang tekong dan dua awak-awak warganegara Thailand.

"Mereka yang berusia lingkungan 34 hingga 41 tahun disyaki telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen dan menangkap ikan kurang dari 15 batu nautika,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Rozali, bot tersebut bersama lebih kurang 1,000 kilogram ikan campur dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Pihak kami memandang serius berkenaan kesalahan bawah Akta Perikanan 1985 terutamanya kesalahan yang melibatkan aktiviti menangkap ikan di luar dari zon yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Rozali turut meminta agar komuniti dapat bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang terutama pencerobohan kawasan zon menangkap ikan oleh bot pukat tunda.

"Ini kerana tindakan ini boleh merosakkan ekosistem hidupan laut serta mengancam pembiakan dan pembesaran ikan yang sering menjadi rungutan nelayan pantai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!