Calon 18 tahun dibenar bertanding PRK Parlimen Tanjung Piai
PUTRAJAYA - Pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai pada 16 November ini mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya calon berusia 18 tahun dibenar bertanding.
Perkara itu berikutan pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 47 berkaitan perubahan had umur calon dari 21 tahun dikurangkan kepada 18 tahun sudah diwartakan dan dikuatkuasakan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkannya pada sidang media pengumuman tarikh PRK ParlimenTanjung Piai di Ibu Pejabat SPR di sini hari ini.
"Parti politik boleh meletakkan calon berusia 18 tahun kerana pindaan itu sudah diwartakan. Pengundi berusia 18 tahun belum boleh mengundi pada PRK Tanjung Piai.
"Ini kerana penguatkuasa belum dilaksanakan meskipun Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan berkaitan umur mengundi 18 tahun sudah diwartakan," katanya ketika ditanya adakah rakyat berumur 18 tahun layak mengundi.
Pada 16 Julai lalu Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun.
Turut dipinda penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.
Terdahulu, SPR menetapkan PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan pada 16 November, hari penamaan calon pada 2 November manakala pengundian awal pada 12 November ini.
ARTIKEL BERKAITAN: PRK Tanjung Piai 16 November
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!