Krisdayanti, Mulan Jameela angkat sumpah ahli Parlimen Indonesia

Penampilan Krisdayanti (kiri) dan Mulan Jameela saat dilantik menjadi Ahli DPR penggal 2019-2024. - Foto Instagram krisdayanti, mulanjameela1
Penampilan Krisdayanti (kiri) dan Mulan Jameela saat dilantik menjadi Ahli DPR penggal 2019-2024. - Foto Instagram krisdayanti, mulanjameela1
A
A
A

DUA artis popular Indonesia antara 575 ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Indonesia untuk penggal 2019-2024 hari ini.

Krisdayanti dan penyanyi lagu Mahkluk Tuhan Paling Seksi, Mulan Jameela antara 14 artis yang terlibat angkat sumpah bermula 10 pagi tadi itu di hadapan Ketua Mahkamah Agung, Prof Dr H M Hatta Ali di Bangunan Parlimen Indonesia.

Kawasan sekitar parlimen Indonesia di Jalan Gatot Soebroto, Senayan itu turut dikawal ketat oleh lebih 20,000 anggota pasukan keselamatan berikutan rentetan kejadian rusuhan sejak minggu lalu, menjelang majlis angkat sumpah itu.

Krisdayanti, 44, dan Mulan Jameela, 40, memenangi pilihan raya Indonesia pada 17 April lalu, masing-masing mewakili anggota DPR Jawa Timur V dan Jawa Barat XI.

Krisdayanti, artis yang turut popular di Malaysia itu, bertanding sebagai calon Partai Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P), manakala Mulan, yang juga isteri kepada artis Ahmad Dhani, bertanding sebagai calon Partai Gerakan Indonesia Raya.

Dua menteri Indonesia ketika ini, iaitu Yasonna Laoly (Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia) yang menang bertanding sebagai calon PDI-P, turut melepaskan jawatannya sebagai menteri pada 27 September lalu, untuk dilantik sebagai ahli DPR.

Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia, Puan Maharani Nakshatra Kusyala (anak kepada presiden kelima Indonesia Megawati Soekarnoputri dan cucu kepada presiden pertama, Soekarno juga calon DPI-P, akan mengangkat sumpah sebagai ahli DPR dan akan melepaskan jawatan menterinya.

Memetik laporan media tempatan, artis-artis lain yang mengangkat sumpah hari ini adalah Eko Hendro Purnomo, Desy Ratnasari, Dede Yusuf Macan Effendi, Tommy Kurniawan, Primus Yustisio, Rieke Diah Pitaloka, Arzeti Bilbina, Rano Karno, Nurul Arifin, Farhan, Rachel Maryam Sayidina dan Nico Siahaan.

Beberapa siri demonstrasi berskala kecil bermula sejak tiga minggu lalu, menjadi semakin buruk bermula 24 September dan terbaharu malam tadi, apabila ribuan mahasiswa, pelajar dan pihak tertentu mengadakan demonstrasi di luar kawasan parlimen Indonesia membantah pelaksanaan pindaan Rang Undang-undang Kitab Hukum Pidana (RUU KUHP) atau pindaan undang-undang berkaitan jenayah.

Rancangan pindaan undang-undang itu didakwa mengurangkan kuasa Komisi Pembanterasan Korupsi atau badan yang menangani kes-kes rasuah di Indonesia, menyekat kebebasan hak asasi manusia serta melindungi kepentingan politik pihak-pihak tertentu.

Menurut laporan media tempatan, mahasiswa Indonesia merancang untuk mengadakan lagi demonstrasi besar-besaran petang ini.

Presiden Indonesia Joko Widodo mengarahkan penangguhan undian parlimen terhadap undang-undang itu pada 20 September lepas dan pastinya menjadi tanggungjawab anggota baharu DPR yang mengangkat sumpah hari ini untuk proses tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Jokowi yang turut hadir pada majlis itu, dijadualkan mengangkat sumpah sebagai presiden Indonesia untuk penggal kedua pada 20 Oktober ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!