PRK Tanjung Piai: Asyraf Wajdi sindir SPR?
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan 16 November sebagai tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dan ia bersamaan dengan tarikh Perhimpunan Agong UMNO.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu hantaran hari ini secara bersahaja menzahirkan ucapan terima kasih kepada SPR kerana ‘tidak sengaja’ memilih tarikh tersebut.
“Terima kasih SPR kerana tidak sengaja memilih tarikh Pilihan Raya Kecil P165 Tanjung Piai bersempena tarikh Perhimpunan Agong UMNO pada 16 November 2019,” tulis beliau di laman Facebooknya.
Begitupun, sekali imbas warganet dapat menduga status dimuat naik pemimpin UMNO itu adalah sindiran kepada SPR kerana ia diakhiri dengan tanda pagar ‘tidak sengaja’.
Tengah hari tadi, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun mengumumkan tarikh mengundi bagi PRK Parlimen Tanjung Piai adalah pada 16 November nanti.
ARTIKEL BERKAITAN: PRK Tanjung Piai 16 November
Menurutnya, Hari Penamaan Calon ditetapkan pada 2 November manakala Hari Mengundi Awal pula pada 12 November nanti.
"Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari selepas pengisytiharan calon sehingga 11.59 malam 15 November," katanya.
Menurutnya, tarikh buka bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara pada 1 Oktober 2019 manakala ditutup 31 Oktober.
"SPR akan menggunakan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Undi," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR hari ini.
PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafiq, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu berikutan komplikasi jantung.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr Md Farid, seorang pakar bius, daripada Pakatan Harapan-Bersatu memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi.
Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memperoleh 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas).
Jeck Seng memperoleh 20,731 undi manakala Nordin, 2,962 undi.
Timbalan Menteri di JPM meninggal duniaTerima kasih SPR kerana tidak sengaja memilih tarikh Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai bersempena tarikh Perhimpunan Agong UMNO pada 16 November 2019! #tidaksengaja
Posted by DR ASYRAF WAJDI DUSUKI on Monday, September 30, 2019
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!