Akaun FB palsu: Nga Kor Ming perlu buat laporan polis
IPOH - UMNO Perak menasihatkan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming segera membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung hantaran kontroversi menghina Sultan Selangor dimuat naik di Facebook Nga Kor Ming Super Fans yang didakwa fitnah.
Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, pemimpin DAP itu tidak perlu melatah sebaliknya menyerahkan siasatan kepada pihak polis dan SKMM untuk menentukan kesahihan kandungan serta pemilik akaun Facebook tersebut.
Beliau berkata, hantaran kontroversi itu bukanlah kali pertama dilakukan oleh akaun Facebook itu sebaliknya pernah beberapa kali membuat kenyataan yang menimbulkan kebencian dalam kalangan masyarakat.
"Kami menasihati Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu untuk segera membuat laporan polis bagi membersihkan nama beliau. Beliau juga seharusnya membuat laporan kepada SKMM bagi mendedahkan siapakah pemilik laman Facebook berkenaan.
"Kor Ming sering menampakkan dirinya sebagai mangsa fitnah serta tipu daya, oleh itu Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu mesti membuktikan 'kesucian' beliau katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kor Ming semalam yang menafikan bahawa beliau dan DAP terlibat dalam membuat hantaran menghasut masyarakat Cina untuk membenci Sultan Selangor sepertimana dikongsi Datuk Seri Najib Tun Razak dalam akaun Facebooknya semalam.
Menurut Ahli Parlimen Teluk Intan itu, akaun menggunakan nama 'Nga Kor Ming Super Fans Page' itu merupakan akaun palsu yang menyamar mewakili dirinya dan DAP.
ARTIKEL BERKAITAN: Kor Ming minta Najib taubat, henti sebar berita palsu
Dalam pada itu, Saarani yang juga Ketua Pembangkang Perak berkata, tindakan tegas harus diambil ke atas pemilik serta pentadbir akaun laman sosial tersebut kerana mencetuskan suasana tidak harmoni di dalam negara ini.
Menurutnya, UMNO Perak mengecam semua perbuatan fitnah seperti yang pernah dilakukan terhadap UMNO serta Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dahulu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!