Perak tunggu laporan kajian akhir LTSAS
Exco Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, keputusan kajian itu dijangka diperolehi dalam tempoh tiga bulan ini sebelum spesifikasi kos dan aspek kerja diperincikan.
"Konsultan dilantik ini pakar dalam mengembangkan laluan dan bina lapangan terbang baharu, jika ikut laporan awal, memang landasan ini boleh dipanjangkan, cuma kos perlu diperincikan lagi seperti tambakan, piling, konkrit dan tunneling.
"Selain memanjangkan laluan, kita juga akan melihat aspek-aspek pengubahsuaian lain yang boleh dibuat agar ruang terminal ini memenuhi standard antarabangsa, ini juga termasuk dalam skop cadangan berkenaan," katanya selepas merasmikan pertandingan memancing Sungai Pinji anjuran Surau Al Mujahideen, Pekan Razaki, hari ini.
Menurutnya, kos bagi memanjangkan landasan sedia ada adalah jauh lebih rendah berbanding membina lapangan terbang baharu.
"Lapangan terbang baharu perlu mendapatkan pelbagai lesen, permit dan keizinan daripada agensi-agensi dalam dan luar negara dan ia makan tempoh bertahun-tahun.
"Kerana itu walaupun kita ada rancangan jangka panjang untuk bina satu lapangan terbang bertaraf antarabangsa, kerajaan tetap perlu memikirkan pelan jangka pendek dengan menaik taraf lapangan sedia ada," katanya.
Beliau berkata, jika cadangan itu diterima, kerajaan negeri juga perlu mencari tapak baharu bagi memindahkan lebih 80 rumah kediaman di kawasan perumahan Pasir Pinji yang berada di sekitar kawasan lapangan terbang.
Mengikut kajian awal, ramai kalangan penduduk di situ menyokong penuh hasrat berkenaan kerana selama ini mereka mencari peluang untuk berpindah disebabkan gangguan bising.
"Selain terlibat pembinaan, kontraktor yang bakal dilantik nanti akan membuat penilaian berdasarkan harga rumah semasa.
"Walaupun kita terpaksa membayar sejumlah pampasan kepada mereka, kosnya masih lebih rendah dibandingkan kos membina lapangan terbang baharu," ujarnya.
Bagi memenuhi piawaian standard antarabangsa, LTSAS ya kini mempunyai landasan sepanjang dua kilometer perlu dipanjangkan kepada tiga kilometer.
Dalam perkembangan sama, Adun Sungai Rapat itu berkata, perkembangan LTSAS itu nanti mampu menaikkan ekonomi Perak sebagai lokasi tumpuan pelabur.
Jelasnya, ia selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk meningkatkan nilai pelaburan bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
"Kita bukanlah nak jadikan LTSAS lapangan terbang besar-besar, cukup untuk penerbangan serantau yang jarak perjalanan antara empat ke lima jam seperti ke Hong Kong, Guang Zhou dan New Delhi.
"Kita rancang sekurang-kurangnya Perak dikenali dirantau ini dan mudah didatangi pelabur," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!