Remaja lelaki trauma diraba, didera guru mengaji
KUALA SELANGOR - Seorang remaja lelaki trauma akibat perbuatan jijik seorang guru mengajinya yang sering merabanya selepas mengenali lelaki itu di sebuah masjid di Jeram Ogos tahun lalu.
Ibunya yang ingin dikenali sebagai Rahmah (bukan nama sebenar), 36, berkata, lelaki berpewatakan alim terbabit turut melakukan perbuatan memijak dan menumbuk anaknya hingga pernah mengalami patah tangan kiri.
Menurutnya, anaknya berusia 13 tahun juga sering diugut bunuh termasuk diacu pisau di leher sekiranya mangsa memberitahu perkara itu kepada sesiapa termasuk ahli keluarga.
"Saya amat berharap suspek ini dapat ditahan segera dan dikenakan hukuman setimpal sebelum lebih ramai lagi menjadi mangsa lelaki tidak berperikemanusiaan ini," katanya.
Katanya, lelaki terbabit yang mengenali anaknya mempelawa mangsa belajar mengaji di rumah keluarga lelaki terbabit.
"Anak saya terima pelawaan tanpa syak wasangka namun tidak menyangka sejak dari itu lelaki terbabit mula melakukan perlakuan tidak senonoh serta mendera anak secara mental dan fizikal tanpa saya sedari," katanya.
Ujarnya, dia mula berasa curiga apabila anak kedua dari lima beradik itu kerap kali mengalami kecederaan termasuk lebam di badan.
Menurutnya, segalanya terbongkar pada 21 September lalu apabila lelaki yang membawa anaknya keluar membelasah remaja terbabit hingga menyebabkan pendarahan di bibir.
"Saya bertanya kenapa bibir berdarah. Anak tidak menjawab dan terus ke rumah kawannya.
"Setengah jam kemudian saya menerima WhatsApp dari anak dan saat itu terbongkar rahsia yang dia didera oleh lelaki itu sepanjang mereka berkawan," katanya.
Katanya, dia kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Jeram untuk tindakan lanjut.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Noor Janihan Nanyan mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
"Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki," katanya.
Beliau memberitahu, suspek dipercayai menghilangkan diri dan tiada di kawasan ini.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.
Sebelum ini tular di media sosial sejak 29 September lalu berhubung perbuatan lelaki terbabit yang gagal dikesan sehingga kini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!