Ketum 6,335kg bernilai RM950,250 dirampas

Mohamed Rafiq menunjukkan hasil tangkapan dan rampasan sepanjang operasi Batalion 1 Ulu Kinta di Markas Taktikal di sini hari ini.
Mohamed Rafiq menunjukkan hasil tangkapan dan rampasan sepanjang operasi Batalion 1 Ulu Kinta di Markas Taktikal di sini hari ini.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 Ulu Kinta Perak merampas daun ketum seberat 6,335 kilogram (kg) bernilai RM950,250 sepanjang Op Wawasan Kedah/Perlis di sempadan Malaysia-Thailand.

Timbalan Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa berkata, hasil siasatan mendapati sindiket tersebut menggunakan modus operandi yang sama untuk menyeludup ketum.

Katanya, mereka akan meninggalkan bungkusan ketum di lokasi sebelum diambil pihak satu lagi untuk mengaburi mata pihak penguatkuasa.

"Kita juga mendapati sindiket berkenaan didalangi penduduk tempatan yang mahir selok-belok di kawasan terbabit.

"Ini yang menyebabkan setiap kali kita mendapat maklumat dan melakukan serbuan mereka berjaya meloloskan diri," katanya ketika sidang media di Markas Taktikal di sini hari ini.

Menurutnya, permintaan daun ketum yang tinggi di negara jiran menjadi penyumbang kepada aktiviti penyeludupan ketum di kawasan ini.

"Bagaimanapun anggota PGA sentiasa membuat rondaan pada waktu pagi dan malam di sepanjang 140.8 kilometer di kawasan sempadan untuk memastikan sebarang jenayah sempadan dapat dikekang," katanya.

Sementara itu dalam operasi yang bermula sejak 27 Ogos lalu, tujuh individu warga Myanmar ditahan ketika cuba menyeludup masuk ke negara jiran.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang berusia antara dua hingga 45 tahun itu cuba menyeludup masuk ke negara jiran untuk pulang ke negara asal mereka.

"Siasatan awal mendapati mereka menetap lebih daripada setahun dan ditahan mengikut Sesyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Mohamed Rafiq berkata, beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan yang bersetuju untuk membaik pulih pos-pos anggota PGA yang uzur.

"Secara tidak langsung ia turut membantu meningkatkan motivasi pegawai dan anggota kita untuk lebih cemerlang dalam melaksanakan tugas masing-masing," katanya.

Mohamed Rafiq menunjukkan statistik tangkapan dan rampasan sepanjang operasi Batalion 1 Ulu Kinta di Markas Taktikal di sini hari ini.
Mohamed Rafiq menunjukkan statistik tangkapan dan rampasan sepanjang operasi Batalion 1 Ulu Kinta di Markas Taktikal di sini hari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!