Kempen waspada beli ubat dalam talian sepanjang Oktober ini: KKM
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan kempen Kesedaran Waspada Pembelian Ubat Dalam Talian sepanjang bulan ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kempen tersebut diadakan bagi memberi pendidikan kepada pengguna tentang risiko pembelian ubat secara dalam talian.
Menurutnya, ia juga bertujuan bagi membantu pengguna membuat pertimbangan wajar dengan menyemak terlebih dahulu semua maklumat yang terkandung dalam iklan ubat dalam talian.
"Antara aktiviti yang akan dijalankan sepanjang kempen itu ialah sebaran infografik di laman sosial rasmi KKM, sebaran mesej melalui aplikasi WhatsApp, ceramah, pameran dan wawancara di radio dan televisyen.
“Melalui kempen ini, pelbagai tips berguna sebelum membuat pembelian ubat dalam talian dapat diaplikasikan iaitu pengguna perlu menyemak terlebih dahulu status pendaftaran ubat-ubatan tersebut dengan KKM.
“Seterusnya, pengguna boleh membuat semakan pengiklanan ubat-ubatan tersebut dan memastikan pengiklanannya telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat (LIU),” katanya.
Tanda pagar #biarbetuliklanni! dipilih untuk kempen itu bagi menerapkan kewaspadaan dalam kalangan pengguna supaya tidak mudah percaya pada iklan-iklan ubat dan pelbagai testimoni yang meragukan dalam talian.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM memandang serius penjualan ubat-ubatan secara dalam talian dan pengiklanan ubat-ubatan dengan pelbagai tuntutan yang diragui kesahihannya.
“Pengguna didedahkan kepada risiko mendapat ubat tidak berdaftar, ubat tiruan dan ubat dicampur palsu Racun Berjadual yang boleh mengancam nyawa. Justeru, pengguna perlu berwaspada apabila membuat pembelian ubat dalam talian,” tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!