Tiada kuasa boleh gugat China: Xi Jinping
BEIJING - China hari ini 'menayang' angkatan tentera terbesar mereka menerusi perarakan di Chang'an Avenue ketika ia meraikan ulang tahun ke-70 pemerintahan Komunis di negara itu.
Acara itu turut dihadiri Presiden Xi Jinping dan diiringi dua pendahulunya, Jiang Zemin dan Hu Jintao di balkoni Istana Terlarang yang menghadap Dataran Tiananmen.
"Tiada kuasa yang boleh menggugat status tanah air kita, kemajuan rakyat dan negara ini," katanya sambil disambut sorakan ribuan rakyat yang menyertai sambutan penubuhan negara itu tujuh dekad lalu.
Beliau juga menggesa rakyat memberikan kesetiaan kepada kepimpinan Parti Komunis dan sekali lagi berikrar akan mematuhi model 'satu negara, dua sistem' untuk memastikan kemakmuran berterusan di Hong Kong dan Macau serta menggalakkan pembangunan damai hubungan rentas Selat.
"Semalam kisah China tertulis dalam buku sejarah. Hari ini, China dicipta oleh lebih satu bilion orang. Esok, China akan jadi lebih baik," ujarnya yang menggesa perpaduan demi merealisasikan dua matlamat menjelang seabad penubuhan negara itu.
Difahamkan pemimpin terbabit juga berikrar untuk menjadikan negara itu sebagai sebuah 'masyarakat penuh kemakmuran' menjelang 2021 dan menjadi negara maju, kaya serta berkuasa menjelang 2049. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!