'Rumah sampah' jadi port penagih, pelacur
MELAKA TENGAH - Sebuah 'rumah sampah' yang kotor dan jijik berhampiran Pangsapuri Taman Kenanga Mewah di sini dijadikan port penagih dan aktiviti pelacuran dengan bayaran serendah RM10 demi mendapatkan bekalan dadah sejak empat bulan lalu.
Kawasan seluas 74 meter persegi itu bukan sahaja dipenuhi sampah sarap tetapi turut mengeluarkan bau yang meloyakan.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kenanga, Wong Chi Sing berkata, sebelum ini penduduk tiada masalah membuang sampah di 'rumah sampah' berkenaan, namun sejak Jun lalu ia telah didiami individu dipercayai penagih dadah untuk melepaskan gian hingga menimbulkan ketakutan dan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Menurutnya, disebabkan keadaan itu kerja-kerja mengutip sampah yang selama ini dilakukan oleh syarikat konsesi sisa pepejal tidak dapat dilaksanakan kerana mendakwa kumpulan penagih yang tinggal di kawasan terbabit menghalang pekerja menjalankan kerja pembersihan selain mereka turut bertindak melakukan pembakaran terbuka sesuka hati.
"Memang terperanjat sebab tak sangka ada orang yang tinggal dalam tempat yang kotor seperti ini dan apa yang kita risau keselamatan penduduk kerana ia dijadikan port dadah.
"Dulu tong sampah diletakkan bahagian tepi rumah pangsa namun keadaan yang semakin kotor ia diletakkan di rumah sampah ini dan harap apa yang berlaku dapat diambil tindakan pihak berkenaan," katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undnagan Negeri (ADUN) Kota Laksmana, Low Chee Leong berkata, pihaknya akan mengambil tindakan bagi membersihkan segera tapak sampah tersebut agar tidak berterusan menjadi sarang penagihan dadah.
Menurutnya, beliau yang menerima aduan mengenai pembakaran terbuka dan terdapat penghuni haram turun padang melihat sendiri keadaan itu.
"Saya minta orang ramai sentiasa peka dan prihatin serta memberikan maklumat kepada kami atau agensi berkaitan supaya masalah sosial seperti ini tidak berleluasa dan dapat dibendung," katanya.
Dalam pada itu seorang duda anak empat yang dipercayai 'tokan kecil' ditahan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADKK) Melaka ketika sedang khayal.
Lelaki berusia 42 tahun dan mengakui enam kali keluar masuk penjara atas kesalahan dadah telah mendiami kawasan itu sejak lebih tiga bulan lalu bersama rakannya yang lain.
Chee Leong memaklumkan atas nilai kemanusiaan lelaki yang mengalami kecederaan itu akan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum AADK mengambil tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!