Kementerian Kewangan, kerajaan tanggung hutang 1MDB RM30b: Saksi
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berada dalam keadaan berhutang berjumlah RM30 bilion yang ditanggung oleh Kementerian Kewangan (MoF) dan Kerajaan Persekutuan.
Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, yang berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB dari 2009 sehingga peletakan jawatannya pada Mac 2013 berkata demikian apabila menjawab soalan tambahan oleh pendakwa utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-16 perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak yang melibatkan dana 1MDB.
Sri Ram: Oleh itu, semasa anda meninggalkan 1MDB, apakah jumlah hutang 1MDB? Shahrol Azral menjawab kira-kira RM30 bilion.
Sri Ram: Dan untuk RM30 bilion itu, yang diterima oleh 1MDB ialah satu pembayaran untuk nota Murabahah, Shahrol Azral menjawab, ya, pada tahun 2010.
Sri Ram: Anda bersama 1MDB dari 2009 hingga 2013. Siapa yang menanggung RM30 bilion itu?
Shahrol Azral: MoF (Kementerian Kewangan), Kerajaan Malaysia, kerana 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.
Saksi pendakwaan kesembilan itu mengatakan hutang-hutang itu termasuk bon RM5 bilion yang dikeluarkan oleh syarikat yang dijamin oleh Kementerian Kewangan, dan bon berikutnya berjumlah AS$3.5 bilion jaminan bersama oleh International Investment Co Petroleum (IPIC) dan MoF.
Mengenai jaminan bersama, Shahrol Azral berkata jika berlaku keingkaran, 1MDB sepatutnya membayar terlebih dahulu dan sekiranya tidak dapat membayar, pemegang bon boleh pergi kepada jaminan IPIC.
Ditanya oleh Sri Ram di mana IPIC akan mendapat wang dari? Saksi itu menjawab, ia akan mendapatkannya daripada MoF, induk kepada 1MDB.
Sri Ram: Adakah anda sedar bahawa IPIC membuat tuntutan?
Shahrol Azral: Ya, kami telah diberi taklimat dalam salah satu mesyuarat lembaga. Ia sama ada 2015 atau 2016 semasa saya masih dalam lembaga.
Kepada soalan sama ada saksi telah menarik balik notis abritasi yang dikeluarkan oleh IPIC, Shahrol Azral menjawab, "Ya, lembaga itu juga diberi taklimat mengenai perkara ini. Walau bagaimanapun, saya tidak boleh ingat tarikh mesyuarat ".
Sri Ram: Pada masa yang anda tinggalkan 1MDB pada bulan Mac 2013, apakah masalah IPIC telah diselesaikan?
Shahrol Azral: Apabila saya meninggalkan lembaga pada 2016, perkara itu belum diselesaikan. Tetapi masalah sudah berbangkit.
Ditanya oleh Sri Ram sama ada tertuduh (Najib) mengambil sebarang langkah untuk menangani masalah itu, saksi utama pendakwaan menjawab "Tiada pada pengetahuan peribadinya kecuali apa yang diberi taklimat kepada lembaga oleh Arul Kanda Kandasamy (CEO 1MDB)"
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di tempat sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah disambung Isnin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!