CVSKL bantu 100 pesakit jantung dalam tempoh setahun

Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL)
Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) bakal menyediakan rawatan kepada hampir 100 orang pesakit jantung dalam tempoh setahun sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Pengerusinya, Tan Sri Datuk Dr Yahya Awang berkata, usaha itu diambil berikutan penyertaan pihaknya sebagai salah sebuah hospital terpilih untuk memberikan rawatan kepada ahli Skim Peduli Sihat Selangor.

Beliau berkata, melalui skim itu CVSKL akan melaksanakan inisiatif berkenaan dengan mendapat penglibatan daripada kumpulan perunding pakar malah ia juga bakal menjadi program CSR secara berterusan.

"Pada tahun depan kita jangka dapat merawat dua hingga tiga pesakit untuk rawatan pembedahan pintasan (bypass) manakala lima lagi pesakit bagi rawatan coronary stenting setiap bulan.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan rawatan berjumlah 84 hingga 96 pesakit pada tahun 2020," katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut Yahya berkata, golongan B40 di Selangor yang berpendapatan antara RM2,000 hingga RM8,000 dan tersenarai sebagai ahli Skim Peduli Sihat layak mendapatkan rawatan di CVSKL sekiranya mereka memenuhi kriteria ditetapkan.

"Melalui usaha itu kami berharap dapat meringankan beban hospital-hospital kerajaan dalam menyediakan penjagaan dan rawatan kesihatan berkualiti untuk rakyat Selangor yang berkelayakan," katanya.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif SELGATE, Noor hisham Mohd Ghouth berkata, sekitar RM12 juta telah dibelanjakan untuk merawat pesakit jantung melalui Skim Rawatan Jantung Selangor yang diperkenalkan sejak Februari 2018 lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sehingga kini hampir 1000 pesakit telah menerima manfaat penjagaan kesihatan dan perubatan menerusi program itu.

"SELCARE menjangkakan lebih ramai pesakit jantung dirawat tahun ini dengan unjuran kira-kira 500 pesakit melibatkan perbelanjaan sebanyak RM5 juta," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!