19 remaja hamil terselamat daripada diseludup
LAGOS - Polis Nigeria berjaya menyelamatkan 19 remaja hamil dan empat bayi daripada menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia di sini, hari ini.
Jurucakap polis, Bala Elkana dalam satu kenyataan berkata, kebanyakan mangsa adalah remaja atau wanita muda dan telah diculik bagi tujuan menghamilkan mereka serta menjual bayi yang dilahirkan kepada bakal pembeli.
"Mangsa kebanyakannya berasal dari timur laut Nigeria dan terpedaya dengan janji akan diberi pekerjaan di Lagos. Mereka akan dijadikan tebusan sehingga bersalin. Bayi mereka dijual kononnya untuk dijadikan anak angkat dengan harga kira-kira AS$1,200 (RM5,037)," katanya.
Salah seorang mangsa yang diselamatkan memberitahu, telefon bimbitnya dirampas ketika tiba di Lagos dan sebarang komunikasi ke dunia luar telah disekat oleh penculiknya.
Menurut seorang lagi mangsa, penyeludup mengambil bayinya yang baru dilahirkan dan tidak pernah berjumpa dengan anaknya sejak itu.
Difahamkan, dua suspek wanita telah ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Pemerdagangan bayi adalah perkara biasa di Afrika Barat dan golongan wanita sering disorokkan di lokasi penyamaran seperti rumah bersalin, rumah yatim piatu, klinik atau kilang berskala kecil. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!