Semangat, nekad azimat peserta Everest Base Camp Trekking Challenge

Antara peserta yang bakal menyertai Everest Base Camp Trekking Challenge 2019.
Antara peserta yang bakal menyertai Everest Base Camp Trekking Challenge 2019.
A
A
A

SHAH ALAM - "Saya sendiri tidak menyangka berjaya menjejakkan kaki ke Everest Base Camp," kongsi salah seorang peserta Everest Base Camp Trekking Challenge 2019.

Farris Amirul Fahisha,21, berkata, dia tidak menyangka dapat menyertai misi itu.

"Saya merupakan antara peserta yang termuda dalam misi Everest Base Camp Trekking Challenge. Jujur saya katakan sebelum ini saya sertai beberapa ekspedisi memanjat bermula pada tahun lepas.

"Orang kata ringan-ringan aja, sekarang Alhamdulillah makin lama makin serius dan Insya-ALLAH saya akan gerak bersama kumpulan untuk menyertai misi ini," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Farris Amirul Fahisha merupakan antara 30 orang peserta dari Pertubuhan Nadisihat akan ke Nepal untuk menyempurnakan Misi Everest Base Camp Trekking Challenge 2019 yang bakal berlangsung pada 11 Oktober hingga 26hb Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, program itu merupakan kemuncak kejayaan penganjuran program aktiviti pergunungan sebelum ini seperti Gunung Kinabalu, Annapurna Base Camp dan kebanyakan gunung-gunung di Semenanjung Malaysia.

"Antara yang menarik tentang program ini ialah ianya disertai oleh pelbagai lapisan dan kelompok masyarakat di mana peserta terdiri daripada mereka yang berumur 21 hingga 56 tahun dan dari pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya.

Antaranya penuntut institusi pendidikan tinggi, jurutera, arkitek, pengurus kanan, pegawai perubatan, usahawan, akauntan, jurutera, peguam dan juga profesor," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian pada program Kempen Derma Darah sempena Majlis Penyerahan Jalur Gemilang dan Sidang Media Everest Base Camp Trekking Challenge 2019 di SACC Mall di sini hari ini.

Katanya, objektif utama program adalah untuk mempromosikan gaya hidup sihat di mana kebanyakan peserta program lahir daripada program 'zero to hero' yang diperkenalkan pada tahun 2015.

"Mereka pada awalnya langsung tidak pernah terlibat dalam aktiviti riadah dan juga pendakian.

"Melalui latihan berstruktur yang diadakan akhirnya mereka berjaya menawan Gunung Kinabalu dan Annapurna Base Camp berserta kemuncaknya Everest Base Camp yang berketinggian 5,364 meter dari aras laut," katanya.

Menurutnya, dari sudut persediaan para peserta telah menjalani latihan intensif semenjak awal tahun yang lalu dengan latihan di gimnasium dan juga latihan pendakian di bukit bukit dan gunung di seluruh semenanjung.

"Bagi mendedahkan peserta kepada perjalanan dan pendakian di altitud tinggi para peserta telah mendaki Gunung Kinabalu pada 22hb Oktober yang lalu dan bermalam selama dua malam di Laban Rata pada ketinggian 3200 meter bagi menyesuaikan diri dengan altitud tinggi sepanjang perjalanan ke Everest Base Camp.

"Program ini adalah anjuran bersama Pertubuhan Nadisihat dan Koperasi Wawasan Malaysia Berhad (KOWAMAS) dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Malaysia, RTM Sabah, Kementerian Belia Dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), SME Bank, Universiti Islam Antarabangsa, Azlina Abdul Aziz & Associates, Hiking Malaysia Magazine, Selangor Tourism dan Kowamas Holidays Sdn Bhd sebagai agen pelancongan rasmi," katanya.

Mailis perasmian dan penyerahan kain rentang disempurnakan Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan Dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman di BlackBox@ SACC Mall, Shah Alam, Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!