Rasional bajet pertahanan Malaysia

-Foto Bernama
-Foto Bernama
A
A
A

"UNTUK menjamin keamanan adalah bersedia untuk berperang,” itulah ungkapan terkenal Carl Von Clausewitz, seorang jeneral perang Prussia pada awal abad ke-19 yang telah dijadikan asas oleh banyak negara hari ini bagi persediaan menghadapi saat genting terutamanya ancaman peperangan.

Kata Clausewitz amat relevan, di mana keamanan yang dikecapi tidak seharusnya menyebabkan sesebuah negara lalai dan tidak memberi perhatian kepada aspek pertahanan.

Bagi Malaysia, pada 2019, Kementerian Pertahanan diperuntukkan sebanyak RM13.9 bilion berbanding RM15.4 bilion yang diterima untuk Bajet Pertahanan 2018.

Berbanding dengan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula, ia mewakili sebanyak 0.9 peratus iaitu antara yang terendah dalam sejarah bajet pertahanan negara. Jumlah ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan negara-negara jiran lain.

Sebagai contoh Thailand, pada 2019, bajet pertahanan mereka adalah sebanyak RM30.7 bilion atau 1.29 peratus daripada KDNK mereka. Jumlah yang besar ini bagi membolehkan tentera Thailand selesa bagi mengekalkan tahap kesiapsiagaan mereka.

Begitu juga dengan Singapura, walaupun saiz negara tersebut yang kecil, mereka tetap mengekalkan bajet pertahanan yang tinggi. Pada 2019, mereka menggunakan 3.3 peratus KDNK untuk pertahanan atau RM47.8 bilion. Jumlah ini adalah hampir empat kali ganda daripada Malaysia.

Walaupun ada pihak melihat Malaysia tidak memerlukan bajet pertahanan yang tinggi, ia adalah pandangan tidak sihat dan dibimbangi menjejaskan operasi dan kesiapsagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghadapi sebarang kemungkinan.

Adakah kita sudah lupa apa yang terjadi pada awal 2013? Secara tiba-tiba sekumpulan pengganas Sulu menceroboh Lahad Datu, Sabah dan mengisytiharkan kawasan timur negeri itu sebagai wilayah mereka. Bayangkan jika ATM tidak bersedia, sudah pasti jumlah korban lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pencerobohan Lahad Datu itu hanya dilakukan oleh sekumpulan pasukan gerila, sudah huru-hara timur Sabah, belum lagi serangan tentera konvensional oleh sesebuah negara. Dengan tahap yang ada pada ATM hari ini, adakah kita mampu menangkisnya?

Justeru, diharap bajet pertahanan bagi 2020 meningkat selari dengan cabaran dan ancaman keselamatan baharu yang dihadapi dunia hari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!