‘Dulu kelas 5, sekarang kelas 3’
SHAH ALAM - Pembangunan pesisir pantai Sungai Klang dikenali sebagai projek Gerbang Maritim atau Selangor Maritime Gateway (SMG) berjaya memulihkan Sungai Klang yang pernah dikategorikan antara sungai terkotor di Malaysia yang berada dalam kategori kelas lima kepada kelas empat atau tiga sejak lima tahun lalu.
Malah menariknya, teknologi dron digunapakai untuk memantau aktiviti pembuangan sampah haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd, Syaiful Azmen Nordin berkata, Sungai Klang yang dahulunya diklasifikasikan sebagai tercemar, kini sudah berubah wajah dan semakin pulih hasil program pembersihan dan pemuliharaan projek SMG di bawah inisiatif Menteri Besar Incorporated (MBI) itu.
Menurutnya, sejak pelancaran projek tersebut empat tahun lalu, dianggarkan lebih 50,000 tan metrik sampah sudah dibersihkan dari Sungai Klang yang mana 70 peratus daripada jumlah sampah dibersihkan itu adalah sisa plastik.
“Pihak kami diberi mandat melaksanakan kerja-kerja pembersihan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer (km), bermula dari pusat beli-belah Mid Valley (Lembah Klang) hingga muara Sungai Klang serta memantau situasi Sungai Penchala dan Sungai Damansara.
“Sebagai usaha untuk mengawal sampah-sampah, pihak kami telah memasang tujuh perangkap sampah di semua cabang sungai yang mengalir ke Sungai Klang. Sementara dron digunakan untuk memantau aktiviti pembuangan sampah haram oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Menurut Syaiful Azmen, berikutan usaha pengurangan sampah yang dibuat itu, alat pengesan mendapati kualiti air sungai Klang juga berubah lebih baik iaitu dari tahap kelas lima kepada kelas empat atau tiga berbanding lima tahun lalu.
Menjelaskan lanjut usaha SMG, Syaiful Azmen berkata, lima unit patrol yang berperanan mengumpul data dan memantau Sungai Klang ditubuhkan selain meningkatkan kerjasama dengan orang awam serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya bagi beberapa program pembersihan sungai.
“Orang awam dan badan bukan kerajaan seperti Kelab Warisan Sungai Klang, MPK River Rangers, KLEco Malawati, Active 8 dan Selangor Youth Community membantu memantau Sungai Klang.
“Semua laporan pemantauan diserahkan kepada Lembaga Urus Air Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah, Majlis Perbandaran Klang serta Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya.
Mengenai projek lain, Syaiful Azmen berkata, dua pembangunan melibatkan sungai sedang dilaksanakan iaitu Taman awam Pengkalan Batu dan hutan paya bakau di muara Sungai Klang.
“Ia adalah produk ekopelancongan di Klang yang dijangka siap pada tahun 2022. Projek SMG ini menumpukan kepada peranan Sungai Klang sebagai lokasi aktiviti riadah untuk masyarakat.
“Misalnya pembinaan laluan pejalan kaki sejauh 1.6 KM di hutan paya bakau menyediakan peluang riadah sambil boleh menikmati keindahan flora dan fauna,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!