Wanita maut, lori muatan sos rempuh treler
PAGOH - Seorang wanita maut apabila lori yang dipandu suaminya merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 134 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Pagoh pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.02 pagi tadi, kedua-dua mangsa tersepit dan berjaya dikeluarkan pasukan bomba namun wanita itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Komander operasi Penolong Penguasa Bomba, Mohd Khairul Sufian Dahari berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit daripada lori yang membawa muatan sos itu.
"Kami terima panggilan kecemasan 7.02 pagi. Pemandu lori berusia 38 tahun mengalami kecederaan sementara kelindan (wanita) yang tidak mempunyai pengenalan diri disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital manakala pemandu treler dalam keadaan selamat.
"Mangsa yang meninggal diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya. Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Muar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Operasi tamat jam 8.28 pagi dengan kekuatan seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh serta Bukit Gambir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!