Tidak hormat lagu Negaraku: Kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara
KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berhubung tindakan sekumpulan individu yang didakwa tidak berdiri sebagai tanda hormat ketika lagu Negaraku dimainkan pada satu majlis di Kuching Sarawak baru-baru ini telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/ Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya telah merekod keterangan sembilan individu termasuk seorang wanita berusia dalam lingkungan 34 hingga 64 tahun.
"Keterangan sembilan individu itu dibuat di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sarawak dan kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara semalam.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 8(3) Akta Lagu Kebangsaan 1968," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
Ketika ditanya apa punca individu terbabit bertindak sedemikian beliau berkata, berdasarkan laporan yang diterima dipercayai kerana mereka membantah dan protes.
Katanya, bagaimanapun pihaknya tegas dan tidak akan mengambil kira tindakan mereka kerana undang-undang yang ditetapkan apabila lagu Negaraku dimainkan rakyat Malaysia perlu memberi penghormatan seperti peruntukan yang ada.
Terdahulu pada 29 September lalu tular di laman sosial memaparkan sebuah video sekumpulan individu tidak menghormati lagu Negaraku.
Video asal tersebut dipaparkan oleh pemilik akaun Facebook Shaow Tung Leong dan kemudian dikongsi di media sosial oleh warganet yang mengecam tindakan kumpulan berkenaan yang disifatkan sebagai tidak beradab.
Dalam hantaran di Facebook itu pemilik akaun berkenaan menulis 'I will not stand and sing Malaya national anthemcoz non of my business (Saya tidak akan berdiri untuk menyanyikan lagu kebangsaan Malaya kerana ia bukan urusan saya).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!