Kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran di perairan Kota Tinggi

Kapal tangki disyaki berlabuh tanpa kebenaran ditahan APMM dekat Timur Tanjung Penawar, petang semalam. FOTO: APMM
Kapal tangki disyaki berlabuh tanpa kebenaran ditahan APMM dekat Timur Tanjung Penawar, petang semalam. FOTO: APMM
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) menahan sebuah kapal tangki kerana dipercayai berlabuh tanpa kebenaran petang semalam.

Pengarah ZMTS, Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal tangki 'MT MARIOS G sepanjang 175 meter dan berdaftar di Panama itu ditahan bot peronda Maritim Malaysia pada kedudukan kira-kira 11 batu nautika Timur Tanjung Penawar kira-kira jam 4.10 petang.

Menurut, penahanan dibuat setelah pemeriksaan dilakukan mendapati kapal tangki tersebut gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dari pengarah laut.

''Kapal tersebut yang dikendalikan oleh 24 kru termasuk nakhoda (Master) berwarganegara Filipina berumur lingkungan 20 hingga 58 tahun. Pemeriksaan lanjut mendapati kapal tersebut masih belum melantik agen perkapalan tempatan bagi mendapatkan kelulusan Pengarah Laut dan kru-kru kapal tidak bekerjasama sepenuhnya

''Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut. Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zulfadli lagi, penahanan itu juga dibuat bagi mencegah kejadian rompakan di laut dan kecurian terhadap kapal yang bersauh tanpa kebenaran khususnya di Perairan Permatang Timur, Tompok Utara dan Beting Ramunia.

“Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan sentiasa mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya di Perairan Johor Timur.

“Pemilik kapal diingatkan supaya memohon kebenaran terlebih dahulu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!