Waris bayi ditinggalkan dalam beg dicari
SUNGAI PETANI - Sepasang suami isteri mencari waris kepada seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di dalam sebuah beg pakaian di hadapan sebuah rumah mereka dekat Sri Kembangan, Serdang pada 23 Februari lalu.
Nur Shaidatul Diera Efindi, 24, berkata, ketika itu dia dan suaminya, Khairul Aidil Shazwan, 25, mahu keluar bekerja kira-kira jam 7 pagi terkejut mendapati bayi berkenaan diletakkan dalam beg pakaian di hadapan pintu rumah mereka, tujuh bulan lalu.
Menurutnya, bayi tersebut hanya dibalut dengan kain lusuh, masih bertali pusat, diletakkan dalam beg bertali namun zipnya dibiarkan terbuka.
"Mula-mula agak terkejut bila nampak beg apa, tetapi sebab bimbang keselamatan bayi yang ditinggalkan di luar jadi kami bawa masuk ke dalam, bersihkan dia, beri susu dan tidurkan.
"Kami tertunggu-tunggu jika ada orang nak ambil semula bayi ini, tetapi selepas beberapa hari tiada yang menuntut, menyebabkan saya mengambil keputusan berhenti kerja dan menjaganya sepenuh masa," katanya.
Menurut Shaidatul, anak mereka, Muhamad Danial Zakwan, 5, serta seluruh keluarga sangat sayangkan bayi berkenaan dan bersetuju untuk membuat permohonan pengambilan anak angkat sekiranya tiada waris yang menuntut.
Katanya, selepas tamat kontrak pekerjaan di Selangor, pasangan itu kini berpindah ke Sungai Petani, Kedah dan meneruskan proses pengambilan anak angkat.
Kenyataan akhbar dibuat bertujuan melancarkan proses berkenaan selain keperluan bagi melakukan pendaftaran sijil kelahiran.
Setakat ini, katanya, laporan polis telah dibuat dan penyediaan dokumen berkaitan sedang dilakukan seperti mana kehendak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!