Senarai kudapan 'lari radar' undang bahana
Hati-hati snek terlebih manis, masin dan mengandungi lemak trans
BIASA makan snek? Amat mustahil untuk berjumpa seseorang yang tidak mengambil makanan sedemikian.
Tidak kira umur dan golongan, pasti masing-masing mempunyai snek kegemaran sendiri.
Snek lazimnya dikenali sebagai makanan ringan yang dimakan dalam waktu yang singkat antara waktu makan utama.
Selain pengambilan snek boleh menambahkan vitamin, mineral dan nutrien dalam tubuh, ia juga dapat memenuhi keperluan sosial apabila dinikmati bersama ahli keluarga dan rakan.
Apabila menyebut tentangnya apa terzahir dalam minda kita sudah tentu seperti keropok, kuih-muih, pencuci mulut, pelbagai jenis makanan diproses dan makanan ringan yang lazat.
Snek yang kaya khasiat daripada kumpulan karbohidrat kompleks, tinggi serat, vitamin dan mineral terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan dan kekacang juga termasuk dalam senarai.
Snek seringkali menjadi pilihan yang ideal bagi kebanyakan pengguna on-the-go pada masa kini.
Kepelbagaian pilihan yang ada dapat memenuhi keperluan 'budaya' rakyat Malaysia yang suka makan snek sebanyak enam ke tujuh kali sehari seperti yang dikongsikan pengeluar makanan ringan Mondelēz International (Malaysia) dalam sesi interaktif dan bermaklumat baru-baru ini.
Pun begitu, wajarkah menikmati snek tanpa bertebing? Mampukah kita membuat pilihan snek yang tepat? Apa kesan pengambilan snek tertentu yang akhirnya boleh menjadi 'racun' dalam tubuh? Ikuti perincian Sihat:Aktif minggu ini.Kawal nafsu makan
PADA hari itu, penulis memilih menu minum petang dengan dua keping pisang goreng, sebiji donat, sepotong kuih seri muka, satu bar coklat bersaiz kecil bersama tujuh biji buah anggur.
Penulis yakin snek yang dipilih untuk mengisi perut itu mampu menampung keinginan berkudapan selepas dua jam menikmati makan tengah hari.
Ya, nampak seperti makanan ringan. Namun apabila mengira keseluruhan kilokalori (kcal) daripada menu makanan yang dimasukkan ke pinggan, kesemuanya berjumlah 756kcal!
Ia agak mengejutkan penulis sebenarnya. Berdasarkan kajian pakar diet, jumlah kalori yang diperlukan (Daily Calorie Requirement) oleh wanita dewasa adalah antara 1,600 hingga 2,000 kalori sehari. Sementara, lelaki dewasa antara 2,000 hingga 2,500 kalori sehari.
Kcal menu petang penulis itu belum mengambil kira jumlah makan tengah hari dan makan malam serta kudapan pada sela waktu lain. Pasti jumlahnya melebihi keperluan tubuh.
Sesi interaktif dan informatif, SMRter Snacker yang memfokuskan kepada skop kepentingan snek secara berhemah yang diatur Mondelēz International (Malaysia) itu nampaknya berjaya membuka mata penulis.
Pun begitu, jika melihat pola hidup masyarakat masa kini, pastinya bukan penulis seorang sahaja berdepan situasi memakan snek melebihi kcal daripada yang diperlukan oleh tubuh. Dalam kesibukan harian, sememangnya snek menjadi pilihan mudah dan cepat.
Buktinya pada tahun 2018, jumlah jualan produk snek (makanan ringan) di Malaysia kira-kira RM1.28 bilion. Jumlah itu dijangka bakal meningkat.
Pertumbuhan industri berkaitan di peringkat global menunjukkan betapa entiti berkaitan mahu memuaskan keinginan makan snek pengguna di seluruh dunia.
Laporan Nielsen Retail Measurement Services Moving Annual Total Q2 2017 juga menyebut, perniagaan snek meningkat AS$3.4 bilion ke seluruh dunia pada tahun 2017.
Dapatan itu menunjukkan betapa bukan saja di Malaysia, malah manusia seantero dunia gemar menikmati snek.Ledakan tenaga
Persoalannya, kenapa setiap individu suka makan snek? Berkongsi dengan Sihat:Aktif, Penolong Profesor, Ketua Program Nutrisi dan Kesejahteraan, Fakulti Sains Gunaan Terapan, Universiti UCSI, Dr Satvinder Kaur melontarkan pandangannya.
Menurut Dr Satvinder, tahap kepekaan terhadap aspek kesihatan dan kesejahteraan diri dan pemikiran para pengguna yang dipengaruhi antara faktor merangsang seseorang memakan snek.
"Snek berupaya memberi ledakan tenaga yang diperlukan oleh kita dalam meneruskan kehidupan seharian. Kebiasaannya kebanyakan rakyat Malaysia makan snek enam hingga tujuh kali sehari.
"Lazimnya, kekerapan makan snek pula berpunca daripada kesibukan masa yang padat. Antara faktor yang menyumbang terhadap isu ini adalah gaya hidup aktif para pengguna," katanya ketika ditemui pada sesi SMRter Snacker di ibu negara baru-baru ini.
Sikap menikmati snek itu dikatakan metamorfosis atau lebih lazim disebut sebagai guilty pleasure. Justeru, snek seringkali menjadi pilihan yang ideal bagi kebanyakan pengguna on-the-go pada masa kini, kata Dr Satvinder.
Lantaran itu, pesan beliau, amatlah penting untuk menyemai ilmu makan snek secara berhemah dalam kalangan pengguna. Penting supaya mengetahui jumlah yang ideal untuk menikmati sebaiknya pengalaman makan snek.
"Amalkan tabiat snek secara berhemah atau mindful snacking dengan cuba fokus terhadap rasa makanan. Nikmati setiap makanan yang dimakan.
"Makan snek secara berhemah menggalakkan para pengguna memberi tumpuan terhadap pemakanan mereka. Prinsip itu bukan sahaja membantu para pengguna untuk fokus terhadap snek yang dipilih, malahan menjawab persoalan mengapa dan bagaimana mereka boleh memilih snek untuk dimakan," kongsinya.
Seperkara, dengan cara itu juga ujarnya, dapat membantu para pengguna untuk memilih snek yang lebih sesuai dengan cita rasa mereka. Sikap menikmati snek secara berhemah itu juga dapat mendorong mengawal diri daripada makan berlebihan.Sikap
Mengulas mengenai penyelidikan saintifik terhadap pemakanan yang berhemah, Dr Satvinder berkata, penemuan membuktikan bahawa kesedaran pengambilan makanan snek seharian dapat mengawal pemakanan secara berlebihan.
Bukan itu sahaja, ia juga mengawal sikap individu daripada terjebak dipengaruhi pembungkusan makanan dan juga iklan yang menarik.
"Kini, para pengguna lebih peka dan bijak terhadap pilihan yang terdapat dalam pasaran. Walaupun banyak aktiviti kesejahteraan kesihatan giat dijalankan, permintaan makanan ringan yang tinggi di pasaran menunjukkan ia mampu memberi elemen kesihatan dan keseronokan.
"Pelbagai jenis aiskrim versi protein tinggi, rendah lemak dan juga biskut versi lebih nipis kian mendapat sambutan," tambahnya.
Mengulas senario itu, Pengurus Nutrisi Strategik dan Komunikasi Mondelez International, Pei Gee Chew berkata, pihaknya sentiasa memberi fokus kepada penghasilan produk berinovasi bagi memenuhi keperluan para penggunanya.
Bukan itu sahaja, unit kawalan diperkenalkan bagi mengawal prestasi snek yang terbaik kerana kerana percaya kandungan nutrisi penting bagi diet yang seimbang. Ia sekali gus membantu pengguna yang kesuntukan masa, kata Gee Chew.
Bagi menunaikan tanggungjawab sosial pihaknya, beliau berharap inovasi yang dihasilkan itu membantu para pengguna untuk tidak perlu memilih antara makan snek dan makan secara sihat.
"Kami mahu mempengaruhi mereka untuk menikmati snek secara betul melalui cara pengendalian terhadap pengambilan makanan. Justeru, kami menawarkan pelbagai jenis pilihan makanan ringan mengikut cita rasa tersendiri.
"Kami juga memperluaskan portfolio makanan ringan berkhasiat. Snacking Made Right dibina atas janji kami untuk menawarkan para pengguna makanan ringan untuk masa yang tepat dengan cara yang betul,” ujarnya lagi.Snek terlebih manis, masin, lemak trans undang bahaya
JANGAN mengabaikan beberapa aspek penting apabila menikmati snek. Hakikatnya snek manis, terlebih kandungan garam dan banyak lemak trans mampu menjadi 'racun' buat tubuh apabila kandungannya dijamah berlebihan.
Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia dan juga pengamal perubatan am, Dr Zubaidi Ahmad berkata, sekiranya makanan kudapan yang sering diambil terkandung ketiga-tiga bahan terbabit, ia akan mengundang keburukan.
"Pun demikian, kandungan sedemikianlah lazimnya akan membuatkan sesuatu makanan rasa sedap. Biasanya tiada beza kegemaran kanak-kanak dan dewasa terhadap makanan jenis terbabit.
"Untuk kanak-kanak kita perlu faham, kebanyakan ibu bapa kini nak mudah, tiada masa dan sebagainya menyebabkan kudapan hanya dibeli daripada pasar raya sama ada dari dalam plastik, botol atau tin. Semua itu mesti ada pengawet, perasa dan pewarna, selain mungkin lebih manis, masin atau mengandungi lemak trans," katanya kepada Sihat:Aktif.
Selain itu, kata beliau, tabiat orang dewasa gemar membeli makanan bergoreng juga ada kalanya boleh mengundang masalah.
Menurutnya sesekali dinikmati tiada masalah.
"Namun, misalnya kalau selalu makan pisang goreng dengan lemak trans daripada minyak yang digoreng terlalu lama dan banyak kali digunakan, sudahlah kandungan pisang itu sendiri mengandungi banyak karbo, manis dan sebagainya pasti mengundang masalah.
"Tapi jika kita ambil sesuatu yang natural (semula jadi) seperti kekacang, potong lobak, timun, tomato masa menonton TV, yang itu pun sejenis snek. Ia memberikan manfaat kepada kita. Ada vitamin di dalamnya," katanya.
Kesimpulannya, ujar Dr Zubaidi, orang ramai harus melihat apakah tujuan pengambilan snek. Adakah kerana lapar atau untuk tujuan sosial?
Bagaimanapun menurutnya, untuk bersosial juga perlu mencari snek yang sihat untuk mengelak permasalahan di kemudian hari.
"Saya belum rasa kebanyakan kita pandai cari snek yang sihat, terutamanya golongan muda. Mereka rasa mereka masih muda dan sihat, tak rasa gemuk, jadi rasa makan apa pun tidak mengapa. Bila dah dewasa usia 40, baru tahu kesannya. Penyakit berjangkit ini biasanya mengambil masa lima hingga 10 tahun," katanya.
Menurutnya, lazimnya snek tidak berkhasiat yang dinikmati dalam tempoh tiga ke empat tahun barangkali tidak memberi tanda membimbangkan dalam masa terdekat. Paling maksimum hanya berat badan bertambah, cepat rasa letih, kemungkinan rasa sakit kepala namun mampu hilang sebaik menelan panadol.
"Tapi lepas 10 ke 15 tahun, penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya baru nampak. Sekarang pun lihatlah trend kebanyakan golongan yang ada penyakit akibat tiga elemen tadi, ramai pun orang muda. Umur 30 lagi misalnya dah ramai ada diabetes, sakit jantung dan sebagainya," katanya.
Sihat:Aktif- Bicara MedikSnek mampu menambah vitamin, mineral dan nutrien dalam tubuh. Pun begitu ada juga bersifat sebaliknya. Ada snek boleh bertukar 'racun' bahaya! #bicaramedik #makanansihat #snek
Posted by Sinar Harian on Tuesday, October 1, 2019
FAKTA snek:
Pengambilan snek antara waktu makan utama boleh menyebabkan berat badan meningkat dan mengganggu pola pemakanan harian.
Snek baik yang diambil pada masa bersesuaian, boleh memberikan tenaga yang lebih. Snek perlulah diambil sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu makan utama.Panduan memilih snek:
1. Pilih makanan yang rendah lemak, gula dan garam.
2. Cuba pilih snek daripada kumpulan karbohidrat kompleks serta tinggi serat, vitamin dan mineral.
3. Rancang pemakanan harian anda mengikut panduan piramid makanan. Itu akan membantu mengimbangkan antara snek dan menu utama seseorang.
4. Rancang snek untuk mengelakkan anda memakan apa sahaja yang dilihat.
5. Ambil snek hanya apabila lapar dan bukannya apabila rasa bosan atau gelisah.
6. Hadkan pengambilan snek kurang 250kcal setiap kali ia diambil.
Sumber: www.myhealth.gov.my/
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!