KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dihadapkan di dua mahkamah berasingan di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan mencabul dua beranak yang juga jirannya. Tertuduh Mohd Asri Ramli @ Ngah, 54, bagaimanapun mengaku tak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan itu. Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dengan meraba punggungnya. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan parking motosikal Blok Gelama Flat Kondo Rakyat Kuala Ibai di sini kira-kira jam 6.50 pagi pada 24 September lalu. Dengan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim Nooriah Osman. Sejurus pengakuan tertuduh direkodkan mahkamah menetapkan 4 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tidak menawarkan sebarang jaminan. Sementara itu di Mahkamah Majistret pula tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap ibu mangsa, 44, dengan niat untuk mencabul kehormatannya. Tertuduh didakwa melakukan jenayah berkenaan di kawasan letak kereta blok Gelama Flat Kondo Rakyat Kuala Ibai di sini kira-kira jam 7 pagi pada 24 September lalu. Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana antara dua seksaan itu jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim. Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan juga tidak menawarkan sebarang jaminan.