Nishka akhirnya pergi jua...
KOTA BHARU - Seorang bayi berusia empat bulan yang menderita penyakit kanser otak (Medullablastoma) tahap empat meninggal dunia pada jam 4.30 petang tadi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini.
Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham menghembuskan nafas terakhir di samping kedua ibu bapanya selepas dirawat lebih dua bulan di HUSM di sini.
Kyfa Nishka Al-Kautsar disahkan menghidap kanser otak (Medullablastoma) tahap empat ketika 21 hari selepas dilahirkan dan sejak itu pelbagai rawatan dilakukan bagi membantu menyembuhkan penyakitnya.
Sebelum ini, Nishka disahkan menghidap penyakit itu selepas keadaan kepalanya lebih besar berbanding bayi seusianya yang lain. Malah yang terbaharu dia juga disahkan menghidap kanser buah pinggang menyebabkan dia perlu menggunakan alat bantuan pernafasan (intubated veltilation) di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Ibu saudaranya, Vivi Sumanti ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu jenazah Nishka akan dibawa pulang ke kediaman neneknya di Bukit Marak untuk dikebumikan malam ini.
Malah perkongsian kisah Nishka di laman sosial facebook ibunya, Khairiah Kamarudin dan Vivi Sumanti menjadi tular dan rata-rata netizen termasuklah artis tempatan turut mendoakan kesembuhan anak bongsu daripada lima beradik itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!