FAM gantung sementara lima pengadil

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai lima pengadil digantung tugas selama dua minggu manakala 16 pengadil diberi amaran dan tiga lagi sedang menunggu hukuman lebih berat sepanjang mengadili perlawanan Liga Malaysia (Liga-M), Piala FA dan setakat suku akhir Piala Malaysia 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 34 aduan berhubung prestasi tidak memuaskan oleh pegawai pertandingan dengan 21 daripadanya dibuat oleh pegawai penilai pengadil bertauliah sementara 13 aduan oleh pasukan bertanding.

Bagaimanapun, katanya, baki 10 aduan tidak mempunyai merit untuk diambil tindakan.

“FAM telah bertindak terhadap aduan tersebut dengan memberi amaran serta mengenakan hukuman terhadap pengadil terlibat dengan tujuan memberi pengajaran. Ia sebagai membuktikan bahawa kita memandang serius isu mutu pengadilan.

“Kesilapan dilakukan tidak boleh dibiarkan sahaja dan kita sentiasa mencari jalan untuk penambahbaikan," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat khas jawatankuasa tersebut di Wisma FAM di sini hari ini.

Pada masa sama, Md Dali memberi amaran kepada semua pegawai dan jurulatih pasukan yang lebih cenderung menggunakan saluran media berbanding saluran lebih tepat dalam menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap mutu pengadilan tempatan.

"FAM akan mengambil tindakan tegas terhadap segala kritikan yang dilontarkan mana-mana pegawai pasukan dan jurulatih. Kalau tidak puas hati, bantahan boleh dibuat secara rasmi dan siasatan akan dibuat terhadap bantahan tersebut.

"Cuma jangan 'bantai' di media sosial dan membuat persepsi apabila pasukan anda tewas ia adalah disebabkan pengadil," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Kredibiliti pengadil tempatan sering dipersoalkan selain dikaitkan dengan dakwaan mempunyai mutu pengadilan yang lemah ketika mengendalikan sesuatu perlawanan terutama aksi berintensiti tinggi.

Senario itu menyaksikan FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mencipta sejarah apabila buat julung kali melantik pengadil luar dari Jepun, Takuto Okabe yang dibantu dua penolongnya Akane Yagi dan Osamu Nomura untuk mengendalikan final Piala FA 2019, Julai lalu.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!