DBKL peruntuk RM350,000 baiki bumbung PPR Desa Rejang
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan sebanyak RM350,000 untuk membaiki bumbung rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang yang tercabut akibat hujan lebat dan ribut petang semalam.
Datuk Bandar, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, hujan lebat menyebabkan bumbung pada bahagian atas bangunan tercabut selain turut menjejaskan dua unit rumah serta lima kenderaan.
Menurutnya, pihaknya telah mengarahkan pembaikan serta-merta dilakukan selain pemantauan di lapangan sepanjang musim tengkujuh.
"Unit task force dan jabatan berkaitan juga telah diarahkan untuk membuat persiapan termasuk kerja pengorekan pasir pada saliran, pantau tebing sungai berisiko supaya risiko banjir dan bencana lain dapat dikurangkan.
"Sementara pada mangsa terlibat saya arahkan pegawai terlibat turun bantu apa yang perlu bagi mengurangkan beban mereka. Tiada mangsa atau keluarga diarah pindah susulan kejadian itu," katanya selepas meninjau kerosakan pangsapuri itu hari ini.
Mengulas kemungkinan projek parkir bertingkat dihentikan sebagai langkah keselamatan, katanya perkara itu tiada keperluan.
"Projek masih perlu diteruskan tak boleh ditangguh bagi menyelesaikan isu parkir di kawasan perumahan ini. Apabila projek siap nanti mampu menampung sehingga 700 kenderaan," katanya.
Semalam Sinar Harian melaporkan hujan lebat dan ribut menyebabkan bumbung di Blok D PPR Desa Rejang di sini tercabut dan menghempap kira-kira 10 kenderaan yang diletakkan di bahagian parkir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!