SMK Pinji bela ikan dalam longkang sekolah
IPOH - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinji di sini, berjaya melakar sejarahnya tersendiri apabila mengubah sebatang longkang menjadi tempat pelihara ikan.
Bermodalkan RM100, projek dimulakan dengan membela empat ekor ikan dan kini ia telah membiak sehingga bilangannya mencecah 100 ekor.
Pengetua, Norehan Salbidi berkata, idea itu tercetus hasil kunjungannya ke Bukit Tinggi, Padang, Indonesia 10 tahun lalu yang menyaksikan kebanyakan penduduk memiliki kolam ikan sebagai sumber protein mereka.
"Dengan pendekatan ini, saya mengajak pelajar saya untuk berfikir di luar kotak, berfikir secara kreatif dan inovatif menggunakan air hujan sebagai sumber kitaran air ikan ini.
"Ia juga melatih pelajar untuk lebih bertanggungjawab dan juga sebagai terapi minda di kala stress kerana mereka merupakan aset kepada negara," katanya.
Menurutnya, projek membela ikan tilapia merah dalam longkang mula menampakkan hasil apabila telah terjual lebih 30 ekor sejak beberapa bulan lalu.
"Ia bukanlah secara komersial kerana dijual dengan harga RM1-5 seekor. Namun, ia boleh menjadi inspirasi kepada ibu bapa untuk belajar bela ikan di longkang rumah masing-masing.
"Kami hanya simen dasar longkang dan menggunakan kitaran air hujan. Ikan-ikan ini dijaga oleh petugas- petugas am sekolah dan pelajar di waktu lapang," katanya.
Norehan berkata, pihaknya akan memperluaskan projek berkenaan di longkang lain di sekolahnya membabitkan ikan perhiasan seperti koi.
Projek itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh yang turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 bagi aktiviti Gendang Malaysia.
Hadir sama, Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How.
Kah Woh turut memuji inisiatif dan kreativiti sekolah itu yang berjaya membawa pembaharuan baharu kepada perkembangan pembelajaran pelajar.
"Pelajar dapat belajar sesuatu yang bukan ada dalam buku teks. Idea yang baik ini perlu diteruskan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!