PM lancar Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam negara
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) dalam usaha menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini.
Bertemakan Keselamatan dan Ketenteraman Awam: Tanggungjawab Bersama, DKKA menggariskan enam teras utama dan 21 strategi.
Teras Pertama: Mempertahankan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan institusi utama negara manakala teras kedua ialah Meningkatkan tadbir urus dan integriti agensi penguatkuasaan keselamatan.
Teras ketiga yang turut digariskan ialah mengukuhkan keselamatan kawalan sempadan negara selain menjamin keselamatan dan ketenteraman awam sebagai teras keempat.
Memerangi gejala dadah turut digariskan dalam DKKA sebagai teras kelima dan melindungi aset dan sasaran penting negara diletakkan dalam senarai keenam.
DKKA adalah dasar yang menggantikan Dasar Keselamatan Dalam Negeri (DKDN) yang digubal sebelum ini.
Ia dirangka khusus oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara inklusif melalui beberapa siri libat urus antara kementerian dengan pemegang taruh, jabatan berkaitan, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO).
Turut hadir, Menteri KDN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Tan Sri Alwi Ibrahim, Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador serta ketua-ketua jabatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!