DAP buat laporan polis terhadap Najib
IPOH - Satu laporan polis terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dibuat kerana didakwa memfitnah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.
Najib dikatakan mengguna pakai berita palsu dan memuat naik status di Facebooknya, Isnin lalu.
Laporan polis itu dibuat Setiausaha Sulit Kanan Nga Kor Ming, Tan Toing Yih di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, hari ini.
Tiong Yih berkata, carian yang dibuat mendapati hantaran kontroversi yang dirujuk bekas Perdana Menteri menerusi Facebook 'Nga Kor Ming Super Fans Page' itu telah dimuat naik oleh pihak ketiga dengan nama 'Yu Xi Wan Yak' yang langsung tiada kaitan dengan wakil rakyat itu atau DAP.
Menurutnya, menerusi carian atas talian didapati tidak kurang terdapat tiga akaun diwujudkan dengan nama 'Nga Kor Ming Super Fans Page'.
"Keterangan ini telah diberi kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan polis. Ini bukti jelas bahawa page itu bersifat palsu dan tidak berasas.
'Ia juga bertujuan memesong orang awam dan mencemar nama baik dan reputasi Nga (Kor Ming) serta DAP," katanya.
Tiong Yih turut mendedahkan pihaknya menemui bukti wujud konspirasi jahat politik dengan menghasilkan beberapa 'mirror page' menggunakan nama, reka bentuk dan kandungan sama.
Katanya, kesemua 'mirror page' itu bukan mewakili penyokong Pakatan Harapan (PH) tetapi memihak kepada Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, laporan sama akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Kita akan merujuk perkara ini kepada penasihat undang-undang sewajarnya dapat diambil terhadap Najib," katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat.
Najib menerusi perkongsian di Facebook pada 30 September lalu menggesa kerajaan PH mengambil tindakan terhadap Pengerusi DAP Perak itu kerana mengajak orang Cina yang tidak berpuas hati membuat bantahan terhadap Sultan Selangor.
Ia susulan keputusan tidak membenarkan papan tanda jalan dwibahasa digunakan di Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!