Penduduk PR diperdaya sindiket jual tanah

Kerja perobohan struktur rumah yang dibina tanpa kebenaran di Sungai Chinchin di sini hari ini.
Kerja perobohan struktur rumah yang dibina tanpa kebenaran di Sungai Chinchin di sini hari ini.
A
A
A

GOMBAK - Lebih 10 Penduduk Tetap (PR) yang membeli tanah terpedaya dengan sindiket jual tanah di Sungai Chinchin di sini.

Tanah berkeluasan kira-kira 2.4 hektar itu diceroboh sebelum dijual antara RM30,000 hingga RM40,000 bagi satu lot tanpa pecah sempadan dan tukar syarat status tanah.

Pemilik asal hanya menyedari tanah mereka diceroboh sewaktu siasatan di peringkat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Tanah Daerah (PTD) Gombak dilakukan sebelum disyorkan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Struktur rumah bersebelahan sungai buatan turut dirobohkan.
Struktur rumah bersebelahan sungai buatan turut dirobohkan.

Timbalan Yang Dipertua MPS, Datuk Dr Juhari Ahmad berkata, penjualan tanah haram itu menyebabkan pembeli menanggung kerugian selepas kira-kira 14 struktur yang sedang dalam pembinaan dirobohkan menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan hari ini.

Menurutnya, seperti ada pihak yang sengaja mencabar penguat kuasa dengan mempengaruhi pembeli tanah tersebut untuk terus mendirikan struktur meskipun notis peringatan dikeluarkan tiga bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

Dr Juhari
Dr Juhari

"Selepas notis dikeluarkan sepatutnya tanah diceroboh ini dikosongkan sebaliknya kerja pembinaan struktur rumah semakin ligat.

"Penguatkuasaan yang dijalankan adalah di bawah salah guna tanah dan pembinaan bangunan tanpa kebenaran di bawah Akta 133 Akta Parit Jalan dan Bangunan, Undang-undang kecil Bangunan, Akta 172 Akta Perancangan Bandar dan Akta Kanun Tanah Negara," katanya pada Operasi Perobohan Bersepadu Bagi Pemajuan Tanpa Kelulusan di Sungai Chinchin di sini hari ini.

Juhari berkata, penguatkuasaan dilakukan bagi mengelak pencerobohan tanah berterusan dan menjadi tidak terkawal.

"Pembinaan bangunan tanpa kebenaran ini telah menyebabkan sungai dikambus dan didirikan rumah di atasnya. Ia bukan hanya menyebabkan banjir kilat malah rumah yang dibina itu dikhuatiri tidak selamat kerana struktur tanah yang tidak stabil.

"Saliran tidak sempurna termasuk ada yang mengalirkan sisa buangan terus ke dalam sungai menyebabkan tercemar.

"Malah laluan masuk sempit masuk ke kawasan ini juga menyukarkan kerja menyelamat jika berlakunya kecemasan," katanya.

Struktur rumah yang dirobohkan di Sungai Chinchin Gombak hari ini.
Struktur rumah yang dirobohkan di Sungai Chinchin Gombak hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pembeli tanah untuk lebih peka prosedur pembelian tanah bagi mengelak ditipu sindiket.

"Selepas notis dikeluarkan tiga bulan lalu ada pembeli yang tampil membuat rayuan namun gagal mengemukakan bukti pemilikan termasuk geran menunjukkan tanah tersebut adalah milik orang lain namun dijual oleh pihak lain.

"Elakkan ditipu dengan membuat semakan status tanah di PTD Gombak dan kelulusan perancangan di MPS.

"Jangan terpengaruh dengan iklan penjualan tanah yang tawarkan harga tidak masuk akal," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!