Fayydh sudah tiada
GUA MUSANG - Bayi berusia tujuh bulan yang menghidap penyakit injap jantung terbalik sejak lahir meninggal dunia pagi tadi jam 5.15 pagi.
Nik Fayydh Aiman Nik Roslan, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) Kota Bharu.
Menurut ibunya, Kartini Mohamed, 40, yang tinggal di Kampung Renok Baru di sini, pada 5 September lalu, bayinya menjalani satu pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).
Katanya, Fayydh dibenarkan pulang selepas 10 hari di IJN dan ditempatkan di Hospital Kuala Krai (HKK).
"Sejak lahir, Fayydh tidak pernah pulang ke rumah kami dan berumah di hospital. Keadaannya agak kritikal sejak dua hari lalu dan dihantar ke HRPZ.
"Saya, suami dan anak-anak amat menantikan kehadiran Fayydh kerana 12 tahun tahun kami menunggu. Abang-abangnya berusia 18, 17 dan 12 tahun.
"Biarpun perit namun kami sekeluarga menerima ketentuan Ilahi dengan hati terbuka," katanya.
Menurut Kartini, urusan pengebumian akan dilakukan di Kampung Renok selepas urusan di hospital selesai.
Arwah dilahirkan pada 26 Februari lalu dan disahkan menghadapi masalah jantung ketika dalam kandungan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!