5 bot nelayan, 19 warga asing ditahan
LANGKAWI - Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi menahan lima buah bot nelayan Kelas (C) bersama 19 warga asing ketika menjalankan Ops Gelora di sekitar Pulau Langkawi.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Rosman Ismail berkata, pemeriksaan ke atas lima buah bot pukat tunda kelas (C) pada jarak 10.69 batu nautika sehingga 13.40 batu nautika jarak dari Pulau Rebak.
Katanya, kesemua bot itu didapati melanggar syarat-syarat lesen di bawah Seksyen 8(B) Akta Perikanan 1985 kerana memukat kurang dari 15 batu nautika dari had yang ditetapkan.
"Kita turut menahan 19 warga Thailand berumur di antara 22 tahun sehingga 68 tahun untuk proses dokumentasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Rosman, kesemua tahanan dan bot dihantar ke pangkalan Pasukan Polis Marin di Bukit Malut.
"Kes tersebut diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!