Mickey, Minnie bantu ceriakan murid tahun satu

Wajah ceria murid tahun satu SKSS1 yang dihiburkan dua maskot kartun popular, Mickey dan Minnie Mouse pada hari pertama sesi persekolahan 2019, hari ini.
Wajah ceria murid tahun satu SKSS1 yang dihiburkan dua maskot kartun popular, Mickey dan Minnie Mouse pada hari pertama sesi persekolahan 2019, hari ini.
A
A
A
KUALA TERENGGANU – Hari pertama persekolahan menyaksikan pelbagai ragam dan drama ‘air mata’ terutama oleh kanak-kanak tahun satu yang baharu memulakan sesi persekolahan bagi 2019.

Bagi menghiburkan dan menghilangkan rasa gemuruh kanak-kanak, Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 (SKSS1) menampilkan dua maskot kartun popular, Mickey dan Minnie Mouse untuk menceriakan kanak-kanak di sekolah itu.

Selain mencuit hati ibu bapa, gelagat dua maskot itu dilihat mampu menenteramkan murid sekali gus dapat membantu guru mengawal kanak-kanak daripada rasa takut dan kurang yakin.

Guru Besar SKSS1, Mohamad Kabidi Mohamad berkata, kedua-dua maskot itu telah tiba di sekolah dan bersiap sedia sejak awal pagi untuk menyambut kehadiran murid pada hari ini.

“Dalam jam 6.45 pagi, dua maskot ini telah menunggu di pintu pagar sekolah bagi menyambut kedatangan seramai 1,300 anak-anak sebelum menyertai aktiviti pagi yang diadakan di dalam dewan.

“Kali ini, kita lihat, kehadiran maskot ini dapat menghiburkan anak-anak. Mereka tidak lagi menangis sebaliknya lebih teruja, gembira dan rela berpisah dengan ibu bapa,” katanya.

Mohamad Kabidi berkata, inisiatif itu dijayakan dengan kerjasama Unit Kaunseling dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Tahun ini saya rasa kehadiran dua maskot ini lebih memeriahkan suasana kerana pada tahun lalu kita ada juga buat begini, malangnya cuaca tidak begitu baik.

“Sebelum ini, (2018) adiwira Spiderman yang tiba untuk hiburkan kanak-kanak ke sekolah tidak dapat berbuat demikian kerana hujan lebat,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Sehubungan itu, katanya, selepas ini, pihaknya akan meneruskan usaha membawa maskot ke sekolah bagi menghiburkan anak-anak yang ingin memulakan sesi persekolahan baharu.

“Usaha begini akan diteruskan bagi menghiburkan anak-anak dan dalam masa yang sama menghilangkan rasa runsing ibu bapa terutama bagi kanak-kanak yang baharu memasuki tahun satu,” katanya.

SK Sultan Sulaiman 1 mempunyai seramai 1,300 muridnya dengan 230 adalah murid tahun satu yang ditempatkan di lapan buah kelas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!