Tayar terpakai jimat atau selamat?
SAZIANA SAMAD, 39, bercerita, sambutan Hari Raya Aidilfitrinya pada tahun lalu suram. Moodnya hilang. Bekalan lauk yang dibawa untuk keluarga tercinta ke kampung halaman di Pekan, Pahang menjadi basi. Ini semua gara-gara tayar keretanya meletup di pertengahan perjalanan di Lebuh Raya Karak.
"Sakit hati, saya juga menjadi punca lebuh raya sesak teruk. Nasib, saya tidak alami kemalangan. Saya betul-betul menyesal kerana ambil mudah menukar tayar terpakai. Ini semua kerana mahu berjimat," imbaunya. Kepada Sinar Turbo, Saziana berkata, sebagai wanita, dia mengaku dirinya memang kurang arif soal kereta.
"Kebetulan, tayar kereta depan saya asyik pancit dan bila saya tanya rakan sekerja, dia cadangkan saya ke sebuah bengkel terpencil di ibu kota untuk menggantikan tayar baharu.
"Bajet pun tak banyak sebab baru kerja. Jadi, saya setuju sahaja sebab saya lihat selain saya, ramai pelanggan lain tukar tayar terpakai. Barangkali saya memang tak bernasib baik apabila tayar kereta saya pecah sebaik sahaja memasuki Lebuh Raya Karak dari Cheras, Kuala Lumpur. Inilah bahana memilih untuk berjimat tetapi akhirnya saya tak selamat," katanya.
Pengalaman buruk Saziana itu banyak terjadi kepada ramai orang. Sukar untuk dinafikan, ada di antara yang memang kurang tahu atau tidak peduli tentang hal tayar kereta meskipun ia merupakan komponen paling signifikan bagi sesebuah kenderaan. Tayar juga adalah satu-satunya bahagian yang menghubungkan antara kenderaan dan permukaan jalan.
Mengikut prinsip, tayar biasanya perlu ditukar apabila sudah mencapai tempoh dua tahun penggunaannya atau apabila bunga tayar telah haus akibat geseran pada permukaan jalan. Sememangnya, tayar memang perlu dijaga dengan betul? Selain daripada memanjangkan jangka hayat, penjagaan tayar yang betul juga dapat menjimatan penggunaan bahan petrol! Harga Murah sangatkah harga tayar terpakai itu? Berdasarkan tinjauan penulis, tayar terpakai atau juga mungkin tayar celup yang dijual di pasaran, harganya dalam lingkungan RM45 sebiji yang bersaiz 13 inci, RM50 sebiji bersaiz 14 inci seperti untuk seperti Kancil, Kelisa, Myvi dan Saga) dan RM65 sebiji (bersaiz 15 inci).
Manakala paling mahal ditawarkan adalah tayar bersaiz 17 inci (bagi kereta lebih besar seperti Exora, Alza, Preve atau Waja) yang berharga RM150 sebiji berbanding harga baharu RM300 iaitu dua kali ganda lebih murah. Harga tayar bersaiz 16 inci pula sekitar RM90 ke RM130 sebiji. Namun, ia bergantung kepada keadaan dan jenama besar seperti Silverstone, Falken, Bridgestone, Yokohama, Continental atau Toyo.
Ya, memang murah, Namun, Sinar Turbo tertanya-tanya adakah ia berbaloi untuk anda? Murah tapi adakah ia selamat?
Teliti
Mengulas isu ini, Pengusaha Kamarudin Rahmat & Service Tyre, Muhammad Fauzi Kamaruddin tiada kata dua. Beliau terus menasihatkan pelanggan agar terus membeli tayar baharu kerana lebih bertahan dan tahan lama. Pemilihan itu ujar Muhammad Fauzi, jauh lebih selamat berbanding tayar terpakai yang telah nipis bunganya dan semakin mendekati tarikh luput. Katanya, tayar terpakai atau celup diperbuat daripada tayar lama dan hanya diperbaiki dengan menambah bahan getah supaya menjadi seakan-akan tayar yang baharu.
Ia juga tidak mendapat kelulusan Institut Penyelidikan Standard dan Industri Malaysia Berhad (SIRIM)! “Malahan tayar terpakai yang diimport juga tidak sesuai digunakan di Malaysia kerana cuaca di negara ini berbeza,” katanya.
Pun demikian, ujarnya, kepada individu yang mengalami kesulitan, boleh sahaja membeli tayar terpakai atau celup tetapi dengan syarat. Beliau menggalakkan seseorang individu membuat penelitian beberapa faktor seperti tahun pembuatan dan bridge tayar.
Pastikan tayar itu tidak melebihi lima tahun dari tahun ia dikilangkan. Setiap tayar jelasnya, ada tarikh pembuatan yang terpamer pada sidewall tayar. Dan setiap tayar juga mempunyai petunjuk yang menunjukkan paras bunga tayar. Biasanya ia terletak di celah bunga tayar.
“Pengguna juga harus memastikan tayar terpakai tersebut tidak mempunyai lebih daripada tiga lubang atau bekas paku tampal tayar kerana boleh menjejaskan ketahanan dan ciri ketahanan tayar itu sendiri.
“Selalunya pelanggan dan pengguna juga sering terlepas pandang pada ciri fizikal tayar yang telah ‘diusik’ seperti kesan torehan, kesan cat atau pun kesan digam. Jika ada kesan tersebut jelas tayar itu merupakan tayar celup dan tidak sesuai diguna pakai untuk kegunaan harian,” katanya.
Bahaya
Menurut Muhammad Fauzi lagi, tayar celup selalunya digunakan pada kenderaan perdagangan seperti bas, lori dan treler.
"Kebiasaannya, pengusaha mengambil jalan pintas untuk penjimatan tanpa menghiraukan ancaman kepada keselamatan pengguna jalan raya, ini berbahaya!," tegasnya.
Kenapa pemilik kenderaan berat berani berbuat demikian? Jawab Muhammad Fauzi: "Sebabnya mudah, mahu murah punya pasal. Kalau tayar pneumatik baharu boleh mencecah sehingga RM2,000 untuk sebiji mengikut saiz dan jenama.
"Walaupun murah tetapi tayar tiruan amat berbahaya kerana ia boleh meletup pada bila-bila masa, lebih buruk lagi, serpihan tayar boleh memecahkan cermin kenderaan yang berada berhampiran," katanya. Seperkara, selain tayar toreh, populariti tayar terpakai musim sejuk turut menyumbang kepada kemalangan dan bahaya kepada pengguna.
Kata Muhammad Fauzi, penggunaan tayar terpakai musim sejuk yang dibawa masuk dari negara Eropah, Jepun, Amerika Syarikat dan Korea Selatan kini juga semakin mendapat tempat pemilik kenderaan kerana harganya murah.
"Seperti yang saya katakan tadi, tayar tersebut tidak sesuai dengan iklim panas dan permukaan jalan raya di negara kita, walaupun bunga tayar masih tebal kerana ia hanya digunakan dalam tempoh tiga atau empat bulan sahaja di negara berkenaan. Jadi, nasihat saya, pilihlah jalan selamat, tak salah labur lebih sedikit, asalkan semuanya selamat seperti kata pepatah, alah membeli, menang memakai." ujar Fauzi.
Selamatkah tayar terpakai?Guna tayar terpakai selamat ke? Atau sekadar mahu jimat duit poket? Ikuti wawancara Sinar Turbo bersama Pengusaha Kamarudin Rahmat & Service Tyre, Muhammad Fauzi Kamaruddin dalam edisi sulung segmen Tanya Pakar. Berita lanjut: https://www.sinarharian.com.my/article/50402/SISIPAN/Turbo/Tayar-terpakai-jimat-atau-selamat #SinarTurbo #Tanyapakar #Hobi #Lifestylesinarharian
Posted by Sinar Harian on Thursday, October 3, 2019
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!