Polis di Australia Selatan didakwa bunuh wombat
ADELAIDE - Polis di Australia Selatan (SAPOL) melancarkan siasatan selepas sebuah rakaman video tular memaparkan anggota mereka yang tidak bertugas didakwa membunuh wombat spesies haiwan berkantung mirip beruang.
Rakaman yang dimuat naik di dalam akaun Facebook, Wombat Awareness Organisation itu menunjukkan seorang lelaki tidak memakai baju mengejar sambil membaling batu ke arah haiwan tersebut.
Pada akhir klip itu, wombat terbabit dilihat jatuh terbaring dan tidak lagi bergerak selepas individu tersebut bertindak kejam memukul kepala haiwan itu beberapa kali dengan batu.
Pemandu kereta yang merakamkan perbuatan lelaki itu mendakwa haiwan itu mati akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan tersebut.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis, Grant Stevens mengesahkan lelaki terbabit adalah anggota pasukan keselamatan.
"SAPOL mengambil serius terhadap situasi itu dan siasatan telah dijalankan untuk mengenal pasti anggota terbabit," menurutnya.
Bagaimanapun, pemimpin pribumi mempertahankan ia sebagai bentuk 'amalan budaya' yang turut dilakukan puak terbabit.
Pemimpin puak Wirangu-Kokatha di Port Lincoln, Jack Johncock berkata, ia adalah salah satu cara dilakukan penduduk pribumi untuk memburu wombat. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!