Pemegang kad UNHCR terlibat sindiket seludup migran Myanmar
KUALA LUMPUR - 'Berselindung' dengan menggunakan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk menjalankan kegiatan penyeludupan migran warga Myanmar.
Itu kegiatan seorang warga Myanmar yang berperanan sebagai ejen penerima dan berjaya dibongkar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi di hadapan sebuah pusat beli-belah di Puchong, Selangor Isnin lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, turut ditahan di lokasi kejadian adalah tiga lelaki migran warga Myanmar.
"Susulan itu satu serbuan dibuat di sebuah rumah di Bandar Puchong dan berjaya menahan tujuh lagi lelaki migran warga Myanmar.
"Polis percaya migran terbabit diseludup masuk dari negara asal untuk bekerja secara haram di negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya percaya tangkapan terbaharu ini mempunyai kaitan dengan operasi yang dijalankan bermula 22 September sehingga 25 September lalu di sekitar Lembah Klang, Kelantan dan Pulau Pinang.
Katanya, sindiket berkenaan turut melibatkan pembabitan warga tempatan yang menggunakan laluan darat dari Thailand dan seterusnya diseludup masuk melintasi Sungai Golok ke Rantau Panjang, Kelantan sebelum dihantar kepada ejen di lain-lain negeri untuk bekerja di pelbagai sektor.
"Kesemua tangkapan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Abdul Hamid berkata, dengan tangkapan ini, jumlah keseluruhan tangkapan membabitkan rangkaian sindiket penyeludupan migran itu adalah seramai 94 orang iaitu enam warga tempatan dan 88 warga Myanmar.
"Warga tempatan itu dikesan berperanan sebagai ketua sindiket, pembantu ketua sindiket serta ejen manakala lima warga Myanmar itu adalah ejen dan selebihnya migran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!