Tiga negara sedia terima kembali 89 kontena sampah, sisa plastik
PETALING JAYA - Tiga negara sudah mengesahkan bersedia menerima kembali 89 kontena mengandungi sisa plastik dan sampah milik mereka yang masih tersadai di beberapa pelabuhan negara ketika ini.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, ketiga-tiga negara berkenaan juga bersetuju Malaysia tidak akan menanggung kos penghantaran semula kontena tersebut.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama tiga negara itu pada masa ini.
“Kami dah tahu di mana negara asal dan kami telah menghubungi duta-duta negara berkenaan dan tiga negara ini secara lisan setuju untuk dapatkan balik (kontena) tanpa kos daripada kita.
“Kami menjangkakan proses dokumentasi selesai akhir tahun ini kerana ia dijangka mengambil masa sehingga enam minggu. Prosedur adalah rumit dan sangat kompleks kerana kami mengikuti (mematuhi) Konvensyen Basel,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan MCIS Insurans di sini hari ini.
Bee Yin berkata, selain di Pelabuhan Klang, pihaknya mendapati terdapat juga kontena yang berisi sisa plastik dan sampah di pelabuhan di Pulau Pinang dan Sarawak.
Menurutnya, kerajaan perlu bersikap tegas dalam menangani perkara itu bagi memastikan ia tidak berulang walaupun prosedur menghantar semula kontena berkenaan dijangka mengambil masa yang lama dan kompleks.
“Kami dapati ada pihak industri berkenaan nak gesa kerajaan supaya kami jual dan dia dapat murah atau percuma daripada kerajaan, tetapi saya tegaskan jangan harap kerana sesukar mana pun, kami akan pulangkan (sisa plastik dan sampah ini).
“Kami lakukan ini kerana kami mahu hentikan pusingan ini. Kalau kami benarkan lain kali akan terjadi lagi dan mereka akan terus masuk (bahan-bahan itu) secara haram,” katanya.
Bagi langkah terkini untuk membendung perkara itu, beliau berkata, kerajaan akan menyekat kemasukan kontena berkenaan di pelabuhan negara dan memastikan pihak terbabit membayar kos penghantaran pulang bahan buangan tersebut.
Sebelum ini 21 kontena berisi sisa plastik dan sampah telah berjaya dihantar pulang dari Pelabuhan Klang dan pelabuhan di Pulau Pinang ke Sepanyol, Australia, Arab Saudi dan Bangladesh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!