Abot, Rambai 'pujuk' gajah liar pindah

Gajah liar yang merosakkan tanaman penduduk Kg Lepan Kekabu, Guntung di Setiu sejak seminggu lalu berjaya dipindahkan ke Taman Negara Terengganu, hari ini.
Gajah liar yang merosakkan tanaman penduduk Kg Lepan Kekabu, Guntung di Setiu sejak seminggu lalu berjaya dipindahkan ke Taman Negara Terengganu, hari ini.
A
A
A

SETIU - Seekor gajah liar jantan yang dikesan merosakkan kebun penduduk di Kampung Lepan Kekabu, Guntung, di sini ditangkap dan dipindahkan ke habitat lebih selamat di Taman Negara Terengganu di Tasik Kenyir hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, operasi memindahkan gajah berusia 16 tahun itu dilakukan dengan bantuan dua ekor denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

"Dua gajah denak bernama Abot dan Rambai berjaya membantu 'memujuk' gajah liar terbabit untuk masuk ke kenderaan bagi kerja-kerja pemindahan.

"Usaha memindah keluar gajah itu ke kenderaan mengambil masa selama hampir tiga jam. Ia berjaya dibawa keluar dari kawasan kebun penduduk kampung jam 10 pagi tadi," katanya.

Menurut Abdul Malek, pihaknya menerima maklumat mengenai kehadiran gajah itu Sabtu lalu pada 28 September.

Katanya, sebanyak lapan ekor gajah liar pelbagai saiz telah dipindahkan ke habitat lebih selamat sehingga Oktober tahun ini.

Sementara itu, penduduk Kampung Lepan Kekabu, Suhaimi Mohamad, 57, yang mengikuti operasi pemindahan gajah itu berkata, penduduk kampung berasa lega kerana haiwan itu berjaya dipindah ke lokasi lebih selamat.

Katanya, gajah yang dipercayai datang dari kawasan Hulu Tembok, Tasik Kenyir itu pada mulanya berjaya ditambat tiga hari lalu di kawasan kebun penduduk kampung.

Artikel Berkaitan:

"Dalam seminggu juga pihak Perhilitan dan penduduk di sini ambil masa untuk kesan dan tambat gajah berkenaan.

"Gajah ini berjaya dipindahkan dengan bantuan 20 anggota Perhilitan termasuk penduduk kampung," katanya.

Katanya lagi, kampung itu telah sekian lama 'sunyi' daripada 'dikunjungi' haiwan liar itu dan ini kali kedua kampung itu didatangi haiwan berkenaan sejak kali pertama 40 tahun lalu.

"Seingat saya, sebelum ini dah lama tiada gajah liar yang memasuki kawasan kampung ini dan merosakkan tanaman.

"Gajah ini dikesan sejak seminggu lalu oleh penduduk kampung setelah mendapati tanaman seperti pisang, kelapa sawit dan buah-buahan dimusnahkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!