Akur larangan merokok tempat awam
PARIT BUNTAR - Majoriti penduduk daerah Kerian yang merokok menghormati arahan larangan merokok di tempat awam yang baru dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan bermula hari ini.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa premis restoran 24 jam, kedai makan dan pasaraya di daerah Kerian mendapati hampir kesemuanya kini bebas dari aktiviti merokok yang sebelum ini menimbulkan rasa kurang senang mereka yang tidak merokok.
Beberapa pelanggan kedai makan hendak merokok juga dilihat mengambil inisiatif keluar dari premis bagi tujuan itu dan senario itu juga menimbulkan keadaan pro dan kontra kepada pengusaha premis kedai makan.
Lebih kurang jam 12 tengahari, kelihatan juga beberapa kenderaan Pejabat Kesihatan Daerah Kerian yang mengadakan rondaan dan membuat siaraya pemberitahuan mengenai arahan penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam bermula hari ini.
Bagi seorang pelanggan merokok, Mohd Shahrul Nizam Hussin,34, dari Nibong Tebal, Pulau Pinang berkata, arahan larangan merokok di tempat awam dikuatkuasakan kerajaan ketika ini memberi banyak kebaikan dan keburukan kepada golongan perokok dan orang awam.
Menurutnya, dari satu sudut, pihaknya bersetuju dan akur dengan larangan itu bagi memberi ruang dan dan persekitaran lebih sihat kepada pelanggan tidak merokok terutama kanak-kanak dan bayi.
"Namun, saya lihat arahan pelaksanaannya agak terburu-terburu apabila kerajaan seolah-olah mengabaikan kebajikan perokok yang sememangnya mempunyai tabiat merokok selepas makan.
"Kita lihat di premis restoran di sini, kebanyakan kedai makan terletak di tepi jalan dan sekiranya kami diminta untuk merokok pada jarak tiga meter dari premis, keadaan itu menyusahkan kami.
"Jadi, saya mewakili golongan perokok merayu kerajaan untuk memperhalusi semula arahan dikuatkuasakan ketika ini," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Seorang lagi perokok, Jamaluddin Ayub,49, berkata, pihaknya menyedari arahan larangan merokok di tempat awam dikuatkuasakan kerajaan adalah untuk membentuk kesedaran sivik dalam kalangan perokok supaya lebih menghormati orang lain yang tidak merokok.
Meskipun dirinya merupakan perokok tegar, Jamaluddin menegaskan dia sentiasa menghormati orang lain yang tidak merokok dan sering merokok di lokasi agak jauh dari orang ramai.
"Saya fikir arahan larangan sebegini tidak akan dikeluarkan kerajaan sekiranya perokok mempunyai kesedaran sivik untuk menghormati hak mereka yang tidak merokok.
"Cuma, saya fikir perlu ada satu keadilan kepada golongan perokok supaya kerajaan juga boleh memastikan setiap premis menyediakan suasana kondusif kepada perokok untuk merokok di tempat awam, tanpa menjejaskan keselesaan orang ramai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!