Malaysia, Singapura bincang isu pertikaian ruang udara
KUANTAN- Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata isu pertikaian ruang udara di antara Malaysia dan Singapura akan dibincangkan pada pertemuan beliau dan rakan sejawatannya dari republik itu Vivian Balakrishnan pada 8 Januari ini.
Katanya pertemuan itu adalah susulan daripada mesyuarat di antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean di Putrajaya semalam.
"Kunjungan (saya) ke Singapura adalah sebagai sambungan kepada pertemuan semalam. Ada beberapa isu (yang dibincangkan semalam), tapi isu yang perlu disegerakan ialah rancangan Singapura berhubung Lapangan Terbang Seletar yang akan melalui ruang udara Pasir Gudang, Johor.
“Saya yakin isu ini boleh dibincangkan dengan baik dalam mencari situasi menang-menang kepada kedua-dua negara," katanya kepada pemberita selepas bertemu pelajar Tingkatan Enam semester dua Sekolah Menengah Kebangsaan Astana, di sini hari ini.
Sebelum ini dilaporkan Malaysia membantah tindakan Singapura untuk melaksanakan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar berikutan langkah tersebut akan memberi impak besar kepada pembangunan di Pasir Gudang kerana wujud sekatan ketinggian struktur selain meningkatkan risiko terhadap Pelabuhan Pasir Gudang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!