Lulusan kemahiran juga mampu berjaya

No Image Caption
A
A
A

MUSIM peperiksaan sudah pun bermula. Bagi pelajar Tingkatan Tiga, Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dijadual akan berakhir 9 Oktober ini manakala peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula akan bermula pertengahan Oktober nanti.

Sepanjang peperiksaan, tentunya setiap pelajar sudah memberi jawapan yang terbaik dalam setiap subjek yang diambil.

Berhempas pulas menelaah pelajaran, tidur malam pun hingga jam 3 atau 4 pagi. Sehabis baik.

Setelah berakhirnya peperiksaan ini, apa perancangan pelajar dan ibu bapa untuk halatuju nanti?

Sepertimana soalan yang sering belenggu fikiran kebanyakan pelajar..

'Saya sudah habis PT3 dan SPM, ke mana saya perlu pergi?', 'laluan apakah yang paling bagus selepas ini?', 'bolehkah terus bekerja?', Mana lebih baik ambil STPM atau diploma?'dan 'kemahiran atau akademik?'.

Tentu banyak persoalan yang timbul dalam fikiran anda dalam memikirkan laluan selepas peperiksaan nanti.

Betul dan sudah pasti pelajar yang berjaya mendapat keputusan cemerlang biasanya akan terus memilih ke laluan akademik.

Artikel Berkaitan:

Namun bagi pelajar yang kurang cemerlang, ini bukan pengakhiran hidup. Masih ada jalan keluar menuju kejayaan jika kita ada semangat yang kuat dalam diri.

Jadikan tohmahan segelintir masyarakat yang menganggap pelajar tidak pandai itu tiada masa depan dan 'tidak ke mana' itu cabaran!

Di luar sana sudah banyak contoh teladan yang pelajar tidak cemerlang ketika sekolah namun memilih ke bidang kemahiran akhirnya mencapai kejayaan di luar jangkaan dalam pekerjaan, menjadi orang berjaya dalam pelbagai jurusan.

Lepasan SPM dan PT3 yang mendapat keputusan peperiksaan kurang memberangsangkan, boleh memilih ke bidang kemahiran seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut laman web Kementerian Pendidikan (KPM), TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri.

Ia bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu. Skop TVET perlu berdasarkan standard pekerjaan yang diiktiraf, dengan penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan di industri.

TVET diperkenalkan bagi memenuhi permintaan industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, selaras dengan globalisasi, ekonomi berasaskan pengetahuan, kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga kerja global.

TVET dengan mengupayakan pendekatan yang diterajui industri adalah penting untuk menyediakan modal insan berkemahiran yang diperlukan industri, terutama untuk menyokong peralihan sektor ekonomi ke arah aktiviti berasaskan pengetahuan, selari dengan aspirasi menjadi negara maju pada tahun 2020.

Kini lebih daripada 500 institusi TVET awam yang menawarkan pelbagai program TVET bagi semua peringkat pendidikan.

Secara umumnya, terdapat dua laluan untuk memasuki bidang TVET iaitu menerusi SPM dan PT3. Lepasan SPM berpeluang untuk melanjutkan pelajaran sama ada dalam bidang Sijil ataupun Diploma dalam program TVET yang berkemahiran tinggi.

Selain itu, bagi pelajar yang kurang kecenderungan dalam akademik dan remaja di luar sistem pendidikan terdapat juga program khas Sijil dan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Lulusan program TVET mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran praktikal dengan lebih baik berbanding lulusan program akademik.

Kelebihan itu berpotensi untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menarik minat majikan untuk menawarkan pekerjaan kepada lulusan TVET.

TVET pilihan utama

Terdahulu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam satu dialog baru-baru ini menjelaskan TVET atau professional skills harus dijadikan pilihan utama dan bukan lagi sebagai cabang alternatif.

"TVET ini juga mahu dilihat sebagai suatu entiti tunggal yang besar dan seragam, tidak terpecah-pecah dan sekali gus berkongsi suatu sistem kuat serta menyeluruh.

"Semua tindakan telah kita lakukan khususnya, menubuhkan Badan Penyelaras TVET Negara yang sekali gus menyatukan TVET di bawah satu bumbung dan sistem tunggal yang lebih berdaya saing," jelasnya.

Katanya, secara ringkasnya, reformasi TVET akan berpaksikan lima tonggak utama, iaitu menubuhkan Badan Penyelaras TVET Negara, memberi tumpuan kepada kecukupan modal pembiayaan, membangunkan modal pemilikan bersama.

"Ini termasuk juga memperkasakan persijilan TVET (Industri) dan menjenamakan TVET dengan nama baharu TVET Kebangsaan Tunggal," katanya.

Kata Maszlee lagi, Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) secara spesifik telah menyatakan bahawa TVET adalah pemacu perubahan di mana kerajaan mensasarkan 35 peratus pekerja mahir dapat dihasilkan menjelang 2020.

"Kemahiran profesional ini haris diangkat sebagai pendidikan dan kerjaya pilihan utama.

"Usaha kerajaan untuk merealisasikan aspirasi tersebut melibatkan sistem akreditasi yang diharmonikan dengan jaminan kualiti bagi membolehkan mobiliti pelajar antara institusi TVET merentas kementerian," katanya.

Beliau berkata, setiap institusi pendidikan dan latihan TVET perlu bekerjasama dengan universiti serta agensi inovasi untuk memperkenalkan teknologi baharu yang boleh dimanfaatkan industri.

"Usaha ini secara tidak langsung dapat meningkatkan permintaan industri terhadap graduan TVET. Selain sejajarkan hala tuju institusi TVET dengan keperluan industri, terutamanya dalam menuju Revolusi Industri 4.0," katanya.

Jadi untuk bakal lepasan SPM dan PT3, jangan takut untuk memilih kursus berkaitan dengan kemahiran sekiranya berpeluang melanjutkan pengajian kelak.

Tak kisahla sama ada lepasan akademik mahupun lulusan kemahiran, kedua-duanya pun menjanjikan peluang kerja.

Semua bergantung atas usaha dan masa sama ada cepat atau lambat sahaja. Selamat menyambung pengajian ke bidang yang anda minati!

Siti Noor Faezah Muda ialah Wartawan GPS Bestari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!