Piala Agong: Kelantan janjikan saingan sengit
NAIB juara musim lalu, Kelantan yang tampil tanpa pemain utama tahun ini menyasarkan untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir ragbi Piala Agong 2019 yang akan membuka tirai, esok.
Pengurus pasukan Muhamad Anuar Che Wahab berkata, sasaran ditetapkan itu adalah realistik berdasarkan persediaan pasukan yang agak sederhana serta kehilangan beberapa pemain utama yang berhijrah dan mengalami kecederaan.
“Kita memang kekurangan pemain kerana berhijrah ke pasukan lain dan ada sebahagiannya mengalami kecederaan.
“Selaku finalis tahun lepas, kita tetap membuat persediaan yang rapi dengan apa yang kita ada. Kita akan tetap berjuang sepenuhnya dan mengharapkan kita mampu sekurang-kurangnya ke semi final dan jika mara ke final ia adalah bonus buat pasukan kita,” katanya.
Pada masa sama, Muhamad Anuar berkata, skuad ragbi Kelantan tahun ini akan menggabungkan pemain pengalaman dan pemain baharu di bawah program pembangunan.
Malah katanya, skuad dari Pantai Timur itu juga akan menggunakan sepenuhnya khidmat pemain tempatan sebagai pendedahan kepada pemain baharu.
“Memang kita ada masalah dokumentasi untuk mendapatkan pemain dari luar. Tapi ia bagus untuk kita membawa pemain baharu, pembangunan pemain ke kejohanan ini sebagai persiapan pasukan pada masa depan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!