Aktiviti di kuil bersifat akademik, tidak sentuh sensitiviti agama

Gambar pelajar UniSZA yang tular di satu laman Facebook.
Gambar pelajar UniSZA yang tular di satu laman Facebook.
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Program dan aktiviti yang dijalankan oleh pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuil Hindu bersifat akademik dan tidak menyentuh mana-mana sensitiviti agama Hindu dan juga Islam.

Ketua Pusat Pengajian Antropologi dan Dakwah Fakulti Sains Sosial Gunaan UniSZA, Mohamad Hafis Amat Simin berkata, program itu adalah kajian lapangan bagi penuntut yang mengambil kursus Agama dan Masyarakat, ISM Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) dengan kepujian.

Menurutnya, pelajar yang mengikuti kursus tersebut wajib membuat penyelidikan mengenai praktis agama dan juga kepercayaan masyarakat dan akan diselia profesor dan ahli akademik yang berpengalaman dalam bidang sains sosial.

"Penuntut yang mengikuti kursus ini semuanya beragama Islam namun ada kumpulan pelajar yang mengkaji agama Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu dan agama-agama lain selain daripada agama Islam.

"Mereka hanya terlibat sebagai penyelidik dan pemerhati dalam aktiviti temubual bersama responden. Mereka tidak terlibat langsung dalam mana-mana ritual agama Hindu dilakukan di kuil itu," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini semalam.

Semalam, pemilik satu akaun Facebook memuat naik kenyataan dan gambar penuntut UniSZA berada di kuil Hindu sebelum ia tular dan menerima kecaman di media sosial.

Mohamad Hafis berkata, penularan isu tersebut semata-mata berniat jahat demi menjatuhkan kredibiliti dan reputasi penuntut UniSZA di samping ingin mencetuskan ketegangan antara masyarakat dan agama di Malaysia.

"Menjadi keperluan utama kepada pelajar untuk sentiasa bersama masyarakat di lapangan untuk memahami dengan lebih jelas apa permasalahan masyarakat serta bertindak sebagai agen mobilisasi yang lebih berkesan.

"Pihak kami memohon fitnah ini dihentikan bagi menjaga keharmonian masyarakat di Malaysia. Semoga penjelasan ini dapat menghentikan sebaran cerita yang tidak sahih dan menjawab isu ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!