GST: PH perlu pertimbang cadangan Pas
KUANTAN - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disaran mempertimbangkan cadangan Pas supaya memperkenalkan sistem cukai simpanan korporat dan cukai pegangan saham bagi golongan kaya.
Ketua Penerangan Pas Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, sistem cukai itu lebih baik bagi memastikan golongan miskin tidak terus terkesan dengan peningkatan kos sara hidup mereka.
Menurutnya, Pas masih tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan yang mahu melaksanakan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana tidak menyelesaikan yang berlaku sebelum ini.
"Pas masih dengan pendirian tidak menyokong mana-mana cukai yang akan diperkenalkan kepada rakyat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedia mengembalikan pelaksanaan GST jika rakyat bersetuju dan akan melakukan kajian semula.
Mohd Tarmizi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching berkata, cukai sepatutnya dikenakan kepada individu yang layak sahaja.
"Kalau boleh cukai yang dikenakan hanya kepada mereka yang memiliki pendapatan dan kekayaan banyak berbanding cukai GST dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan pada hari ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!