Kes lemas, lebih banyak papan tanda amaran akan dipasang

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Lebih banyak papan tanda amaran akan diletakkan di kawasan berisiko berlaku kejadian lemas di seluruh Terengganu bagi mengelak tragedi sedemikian berulang pada masa akan datang.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata suasana laut, air terjun dan sungai di negeri Terengganu agak berbeza mengikut waktu di mana ia berbahaya pada musim tengkujuh.

"Papan tanda di tempat yang berisiko ini sangat perlu diperbanyakkan kerana ia dapat membantu rakan-rakan kita dari dalam dan luar Terengganu untuk beriadah di kawasan laut atau air terjun dengan selamat.

"Suasananya berbeza-beza...bulan Januari lain, Jun lain dan Disember lain kerana sudah masuk musim tengkujuh. Ini antara peringatan yang perlu diambil serius oleh ibu bapa, seeloknya dengar maklumat daripada penduduk tempatan mengenai pantai atau air terjun itu sebelum beriadah di lokasi itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud sempena hari pertama sesi persekolahan 2019 di sini, hari ini.

Dalam kejadian terbaharu pada kira-kira pukul 6.40 petang Ahad lepas, tiga adik-beradik perempuan yang berasal dari Kampung Peringat, Kelantan dihanyutkan setelah dipukul ombak besar ketika bermain di pesisir Pantai Sura Tengah di Dungun.

Mayat tiga beradik iaitu Nurain Fatma Zawawi, 10, Nurain Sofia, 8, dan Nurain Sasabila, 6, ditemui lemas pagi semalam.

Ahmad Samsuri turut berharap agar keluarga mangsa tabah dengan pemergian tiga kanak-kanak itu dan mendoakan agar mereka berada dalam keampunan dan rahmat ALLAH. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!