Kagumi Salah, peminat tegar Nothingham Forest peluk Islam
BINTANG Liverpool, Mohamed Salah bukan sahaja memberi impak besar kepada kelab tersebut dengan memenangi kejuaraan berprestij seperti Liga Juara-juara Eropah dan UEFA Supercup malahan banyak menunjukkan nilai-nilai positif yang menggambarkan kebaikan Islam.
Impak dan perbuatan yang dilakukan oleh Salah berjaya membuatkan orang yang bukan Islam untuk berhijrah kepada agama Islam dan memberi pandangan berbeza kepada orang yang selama ini memandang Islam dengan pandangan yang negatif.
Seorang penyokong kelab pasukan bola Nothingham Forest, Ben Bird berkongsi bagaimana Salah telah mengubah pandangannya terhadap Islam sehingga beliau memeluk Islam.
Bend berkata, bintang bola sepak yang berasal dari Mesir itu telah memberi ilham kepada dirinya dan kini impiannya adalah untuk bertemu serta bersalaman dengan Mohamed Salah bagi mengucapkan terima kasih kerana telah mendekatkan dirinya kepada Islam.
"Saya tidak rasa kawan-kawan saya percaya sepenuhnya bahawa saya ini seorang Muslim kerana saya tidak berubah pun, saya masih diri saya yang dulu. Saya benar-benar sedang berubah dan sedang membuang tabiat lama saya.
"Lagi-lagi ketika minggu itu ialah minggu perlawanan bola sepak. Kebiasaannya saya akan mengunjungi pub, bertaruh, kemudian selepas perlawanan bola itu tamat, lazimnya saya akan kembali ke pub itu semula dan sedar saya akan banyak kehilangan wang
"Agar sukar untuk saya mengubahnya pada permulaan kerana kita dah terbiasa dan kebanyakan penyokong bola sepak di sini merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat di sini," katanya.
Dalam pada itu, Bend berkata, dia malu kerana pernah berpendapat bahawa agama Islam, budayanya serta penganutnya sangat-sangat kebelakang. Malah pernah ada perasaan benci kepada orang Islam.
Namun, dirinya tidak pernah untuk menyuarakan semua itu terhadap orang Islam secara berhadapan dan semuanya berubah apabila dirinya mempelajari subjek tentang negara-negara yang terletak di Timur Tengah (Arab).
"Kami telah disuruh untuk membuat karangan, dan saya mahu memastikan bahawa karangan saya itu berbeza sedikit. Saya masih ingat lagi tutor saya pernah memberitahu pada saya: “Apa kata lagu Mohamed Salah?” Saya dengar apa yang dikatanya itu dan turut merasakan bahawa idea itu agak menarik juga namun saya masih belum memutuskannya lagi ketika itu.
"Lagu mengenai Mohamed Salah itu telah dicipta oleh para penyokong Liverpool. Antara liriknya adalah “If he scores another few then I’ll be Muslim too”, dan lirik tersebut telah berjaya sampai ke hati saya. Sepanjang saya menyambung pelajaran saya ke peringkat ijazah, ini adalah kali pertama saya belajar tentang islam secara akademik.
"Kehidupan di universiti telah memberikan saya peluang untuk berjumpa dengan pelajar yang datang dari Arab Saudi. Pada mulanya saya menyangkakan bahawa mereka ini adalah orang jahat yang selalu membawa pedang, akan tetapi merekalah orang yang paling baik saya pernah jumpa. Gambaran negatif saya pada negara-negara Arab ini terus hilang," katanya.
Bend berkata ketika menuntut di universiti dalam melakukan kajian mengenai Salah, rata-rata peminat Liverpool akan memberi pandangan yang positif dan memuji bagaimana pemain bola sepak itu mampu mengubah pandangan masyarakat terhadap Islam.
"Semasa di Universiti, saya ada menemubual beberapa orang pelajar Mesir dan apabila mereka mengetahui bahawa kajian yang saya sedang lakukan itu adalah mengenai “Mohamed Salah, a gift from ALLAH” (salah satu lagu penyokong Liverpool) mereka terus menunjukkan minat mereka malahan mereka siap bertanyakan pada saya lagi tentang kebaikan serta sumbangan yang dilakukan oleh Salah ini pada negara mereka.
"Salah seorang pelajar Mesir itu memberitahu kepada saya bahawa, Salah telah menunjukkan ciri-ciri sebenar seorang penganut agama Islam dan apa yang dituntut dalam Islam. Pelajar itu percaya bahawa Salah membuatkan orang suka dengan agama Islam semula.
"Ianya benar-benar membuatkan saya teruja. Apabila Salah menjaringkan gol, saya rasa dia menjaringkan gol itu bukan untuk dirinya, dia jaringkan gol itu untuk kepercayaannya. Apabila dia menjuarai Liga Juara-Juara Eropah, saya berkata kepada kawan saya bahawa kemenangan itu adalah untuk Islam.
"Setiap daripada gol yang dijaringkan olehnya, pasti beliau akan melakukan postur sujud dan postur sujud itu juga adalah salah satu lambang Islam yang dikenali di dunia. Berapa ramai orang yang menonton Liga Perdana Inggeris setiap minggu? Secara globalnya berjuta-juta," katanya
Tambahnya, Salah telah menunjukkan pada dirinya bahawa dia boleh jadi normal dan juga seorang Muslim dan merupakan seorang pemain yang sangat hebat serta dihormati dalam kalangan komuniti bola sepak.
"Segala pandangan politiknya dan apa agamanya sekalipun tidak penting. Dan pada saya itulah yang bola sepak mampu buat, iaitu ketepikan segalanya tentang pandangan negatif terhadap seseorang pemain itu," katanya. -The Guardian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!