Tun M, Anwar tokoh Islam berpengaruh dunia

Anwar, Dr Mahathir
Anwar, Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi tersenarai sebagai tokoh Islam paling berpengaruh dalam edisi terbaru The Royal Islamic Strategies Studies Centre.

Beliau disenaraikan dari tangga 44 ke 42 bagi tahun ini dan masih satu-satunya warga Malaysia yang berada pada tangga 50 teratas.

Astro Awani melaporkan, Mahathir digambarkan sebagai ‘pemenang tekad’ - ini disokong dengan pengalamannya memenangi lima pilihan raya umum berturut-turut ketika menerajui Malaysia sebagai Perdana Menteri untuk kali pertama.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga diberi sebutan penghormatan untuk senarai 50 tangga teratas dan turut tersenarai antara 450 tokoh Islam berpengaruh bawah kategori ahli politik.

Tindak ketinggalan,Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar turut tersenarai bawah kategori ahli politik.

Bagi negara jiran, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) meraih tangga ke-13 dan dipuji atas statusnya sebagai ahli politik yang ‘bersih’ daripada unsur rasuah dan nepotisme.

Selain Jokowi, nama tokoh Indonesia seperti Profesor KH Said Aqil Siradj, pemimpin Nadhalatul Ulama (NU) iaitu antara organisasi Islam terbesar dunia juga tersenarai.

“Islam Indonesia bukan seperti Islam Arab; ia tidak perlu memakai jubah, ia tidak perlu memakai serban. Apa yang penting adalah intipatinya, iaitu moral agama Islam - tidak kira jubah, seluar, atau sarong,” kata Said Aqil dalam biografi di senarai itu.

Artikel Berkaitan:

Presiden Singapura Halimah Yacob pula menjadi satu-satunya individu wanita yang tersenarai dalam 50 tangga teratas pada tempat ke-38, meningkat dari tempat ke-41 pada tahun lepas.

Untuk kategori tokoh cendekiawan Islam, antara warga Malaysia yang tersenarai adalah Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti, Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Dr Osman Bakar dan Profesor Mohammad Hashim Kamali.

Bagi kategori pendakwah Islam, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Mashitah Ibrahim dan Sheikh Dr Mahmoud MrGlani juga disenaraikan.

Selain itu, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary tersenarai bawah kategori dermawan, Zainah Anwar untuk isu-isu sosial dan Tan Sri Muhammad Ali Hashim untuk kategori perniagaan.

Kategori sains pula, The Royal Islamic Strategies Studies Centre menyenaraikan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor manakala Hafiz Hamidun dan Datuk Seri Siti Nurhaliza pula dipetik untuk kategori seni dan budaya.

Gelaran 'Woman of the Year' diraih oleh ahli Kongres Amerika Syarikat etnik Palestin, Rashida Tlaib dan gelaran 'Man of the Year' pula oleh Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan.

Secara keseluruhan, Tokoh cendekiawan Islam Sheikh Muhammad Taqi Usmani meraih tempat pertama, Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei di tempat kedua dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al-Nahyan di tempat ketiga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!