Saya juga pengguna, semestinya mahukan yang terbaik: Rai
Selepas hampir lima tahun mengendalikan program beli belah popular itu, Raianna atau lebih mesra disapa Rai kini diberi tanggungjawab lebih besar menerusi RaiLive yang berkonsepkan program perbualan dinamik dengan tawaran eksklusif, khas untuk para penonton Go Shop.
“Alhamdulillah selepas lima tahun bersama Go Shop, saya dipilih mengendalikan program baharu yang bakal memberikan pengalaman berbeza buat penonton dan peminat setia Go Shop.
“Saya anggap ia sebagai satu penghargaan dalam kerjaya saya sebagai pengacara apabila program ini mengangkat nama saya sebagai judul program, sekaligus meletakkan tanggungjawab besar kepada saya untuk memberikan yang terbaik.
“Insya-ALLAH saya akan gunakan sebaik mungkin pengalaman dalam bidang pengacaraan selama 20 tahun untuk memastikan RaiLive menjadi sebuah program yang berjaya mencapai matlamat dan sasarannya,” kata Rai kepada Sinar Harian.
RaiLive bersiaran selama satu jam pada setiap Rabu, 11 pagi, menerusi Go Shop (saluran 118), Astro Ria (saluran 104), Astro Ria HD (saluran 123) and di Facebook Live Go Shop.
Menurut Rai, program 11 episod tersebut akan mewujudkan pengalaman membeli-belah yang lebih menyeronokkan apabila penonton diberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan hos menerusi media sosial ketika program bersiaran.
“Buat julung kalinya, Go Shop tampil dengan program bual bicara secara langsung yang berkonsepkan komunikasi dua hala antara hos dan penonton.
“Jadi penonton akan merasa lebih seronok untuk mendapatkan informasi berkaitan produk yang ditawarkan dengan bertanyakan terus ketika program berlangsung di Facebook Live Go Shop.
“Jika sebelum ini penonton hanya mendengar penerangan yang diberikan oleh hos tentang sesuatu produk, kini mereka boleh bertanya apa sahaja persoalan, sekaligus memudahkan mereka membuat keputusan sama ada untuk membeli atau tidak,” jelasnya.
Tambah Rai yang juga merupakan antara pengacara terawal Go Shop, bukan mudah untuknya mengacarakan sebuah program yang berkonsepkan beli belah melibatkan penonton di kaca TV.
“Setiap hos ada cara dan pendekatan masing-masing dalam mengendalikan program mereka, begitu juga dengan saya.
“Saya lebih suka menjadi diri sendiri dan menggunakan pendekatan yang lebih santai dalam program sebegini. Kadang-kadang berkongsi tips dan pengalaman sendiri berkenaan produk yang dijual.
“Jadi penonton rasa selesa, sekaligus yakin dengan apa yang kita perkatakan dalam program itu,” katanya.
Dalam pada itu, kata Rai, sebagai pengacara program itu, dia juga banyak membuat pembelian beberapa produk yang dipromosikan kerana tertarik dengan kualiti dan tawaran yang diberikan.
“Kadang-kadang boleh jadi ‘lupa diri’ juga bila setiap hari diperkenalkan dengan pelbagai produk menarik.
“Bukan penonton sahaja, tetapi kita juga membeli kerana barang-barang yang ditampilkan dalam Go Shop memang sangat eksklusif dan dijual dengan harga yang berpatutan.
“Saya juga pengguna dan semestinya mahukan yang terbaik untuk setiap pembelian yang dilakukan. Konsep itulah yang saya terapkan setiap kali mengendalikan program ini,” akui Rai.
Berkongsi cabarannya sebagai pengacara programyang mula diperkenalkan pada 2014 itu, kata Rai, dia perlu sentiasa kreatif dalam penyampaiannya ketika mengendalikan program.
“Bila buat program siaran langsung, semestinya hos perlu lebih bersedia dan bijak mengendalikan sebarang situasi di luar jangkaan yang berlaku ketika program berlangsung.
“Dalam masa yang sama, kita sentiasa kena kreatif dalam cara penyampaian agar apa yang kita sampaikan itu menyakinkan penonton.
“Kami tidak ada sebarang skrip ketika bersiaran, semuanya dilakukan secara spontan dan santai untuk mewujudkan suasana lebih mesra dan menyenangkan bersama penonton,” akhirinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!