Lelaki maut tersepit dalam kereta
JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut selepas kereta dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta lain di KM 48.2 Jalan Kota Tinggi - Sungai Rengit, Kota Tinggi, tengah hari tadi.
Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II, Ibrahim Abd Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.41 sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, bomba mendapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang telah bertembung dengan sebuah kereta jenis Nissan Sentra.
“Dalam kemalangan itu, seorang mangsa yang merupakan pemandu Nissan Sentra tersepit dan berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan ‘rescue tools’. Bagaimanapun mangsa telah disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ibrahim berkata, perlanggaran itu turut menyaksikan empat mangsa yang juga ahli keluarga dalam kereta jenis Perodua Myvi mengalami kecederaan.
“Kereta berkenaan dinaiki empat mangsa wanita yang mana dipandu mangsa berusia 54 tahun,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Laporan kes diterima pada jam 1.20 petang hari ini yang mana membabitkan kemalangan antara dua jenis kenderaan.
“Siasatan setakat ini mendapati punca kejadian dipercayai akibat kegagalan mengawal kenderaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!