30 minit sangkut dalam lif
MERU - Seramai 11 pengunjung termasuk tiga kanak-kanak cemas apabila terperangkap kira-kira 30 minit di dalam lif di sebuah pasar raya, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 9.46 malam itu, lif berkenaan dikatakan tidak berfungsi ketika dinaiki mangsa berusia anggaran 10 hingga 40 tahun.
Bagaimanapun, kesemua mangsa berjaya diselamatkan pasukan bomba dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Zaidi Ahtan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan jam 9.46 malam.
“Seramai 12 anggota termasuk pegawai bersama jentera daripada BBP Sungai Pinang dan Kapar dikerah dalam operasi membantu dan menyelamat mangsa terperangkap di dalam lif aras bawah pasar raya berkenaan,” katanya ketika dihugungi, hari ini.
Pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa secara berperingkat.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita mendapati pintu lif gagal dibuka dan terdapat 11 mangsa terperangkap di dalamnya.
“Anggota operasi membuat kerja-kerja mengumpil menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dengan selamat. Operasi tamat jam 10.17 malam,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!